suria

Fazley Yaakob Tawar Khidmat Urus Media Sosial Artis

Fazley Yaakob
Fazley Yaakob

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Fazley Yaakob mengakui kepentingan media sosial dalam kerjaya artis mendorongnya menawarkan khidmat menguruskan media itu melalui syarikat pengurusan miliknya iaitu Fazley International Productions (FIPRO).

Fazley, 34, berkata, laman sosial bukan sahaja menjadi medium perantara antara artis dengan peminat, malah ia mampu menjana pendapatan sampingan sebagai wakil kepada sesuatu produk secara dalam talian.

"Pada asalnya saya tubuhkan satu kumpulan untuk kendalikan media sosial saya seperti Instagram, Facebook dan Twitter, namun selepas melihat ia berjaya, saya cuba untuk tawarkan perkhidmatan ini kepada artis yang berminat.

"Media sosial yang kuat tidak semestinya mempunyai pengikut yang ramai tetapi juga kandungan dan cara media tersebut dikendalikan dengan baik mampu untuk menarik produk iklan," katanya kepada mStar Online.

Kata Fazley, setakat ini dia telah menguruskan beberapa orang artis seperti Nabil Ahmad, Syura, Imran Ajmain dan Zul Mystroe.

Tambah Fazley, pihaknya akan memberi nasihat nama yang sesuai untuk digunakan di laman sosial itu serta bertindak mengemas kini status berkaitan promosi.

Bagaimanapun katanya, artis tersebut juga perlu memuat naik aktiviti dan mengemas kini akaun mereka sendiri agar lebih interaktif.

"Kita faham ada segelintir artis yang tidak mempunyai masa atau tidak tahu untuk menguruskan laman sosial mereka, sayang jika populariti itu tidak digunakan dengan baik terutama sekali di zaman penggunaan yang tertumpu kepada media sosial ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain