suria

Tiga Kumpulan Legenda Dalam 'Konsert Dimensi Rockarisma'

Dari kiri; Man Kidal, Nash, Mus dan Ramli Sarip akan bergabung dalam sebuah konsert.
Dari kiri; Man Kidal, Nash, Mus dan Ramli Sarip akan bergabung dalam sebuah konsert.
Dari kiri; Man Kidal, Nash, Mus dan Ramli Sarip akan bergabung dalam sebuah konsert.

KUALA LUMPUR: Tiga kumpulan rock legenda tanah air iaitu Sweet Charity, Lefthanded dan May bakal bergabung buat pertama kali dalam sebuah konsert khas yang dikenali Rock Legend! Konsert Dimensi Rockarisma yang akan diadakan pada 9 Februari 2013.

Vokalis kumpulan Sweet Charity iaitu Ramli Sarip berkata, gandingan mereka dalam persembahan tersebut sebagai simbolik kepada evolusi muzik yang tercipta semasa zaman kegemilangan mereka.

"Sweet Charity mewakili era 70-an manakala Lefthanded dan May mewakili tahun 80-an. Gabungan ini adalah sesuatu yang unik dan belum pernah ditampilkan lagi.

"Malah ia adalah satu penghormatan buat kami semua untuk berkongsi pentas demi menyampaikan lagu-lagu popular semasa zaman kegemilangan kami khas buat peminat setia," ujarnya pada sidang media konsert tersebut di sini pada Isnin.

Rock Legend! Konsert Dimensi Rockarisma akan diadakan di Stadium Jebat, Melaka pada pukul 8.45 malam.

Dalam pada itu, Ramli berkata, beliau yakin konsert tersebut akan mendapat perhatian penonton walaupun ia diadakan di luar Kuala Lumpur.

Beliau juga yakin peminat luar dari negeri tersebut akan turut memeriahkan konsert berkenaan.

"Kebetulan pada tarikh itu sedang cuti sekolah dan kami yakin peminat akan hadir walaupun ia diadakan di Melaka.

"Tambahan pula bukan mudah untuk melihat kami beraksi di atas pentas sama," katanya.

Sementara itu, vokalis kumpulan Lefthanded, Nash memberitahu ingin berduet dengan Sweet Charity pada persembahan itu nanti sebagai penghormatan kepada kumpulan itu.

Selain itu katanya, konsert tersebut akan berlangsung selama tiga jam dan bakal menampilkan pilihan lagu-lagu popular mereka.

"Hampir 70 peratus lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah kegemaran peminat selain beberapa lagu duet," ujarnya.

Tiket berharga menyaksikan acara itu dijual pada harga RM78 manakala kepada peminat yang ingin membuat tempahan awal layak menerima promosi sebanyak RM58 sahaja.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan sila hubungi Aida Husin di talian 012-2166873 atau e-mel; [email protected].

Artikel Sebelum

Artikel Lain