suria

Medium Dakwah Kekuatan Drama 'Antara Garisan'

Antara pelakon drama Antara Garisan. - Foto LIM CHENG KIAT
Antara pelakon drama Antara Garisan. - Foto LIM CHENG KIAT
Antara pelakon drama Antara Garisan. - Foto LIM CHENG KIAT

PETALING JAYA: Medium dakwah menjadi aspek utama yang ditonjolkan dalam drama bersiri “Antara Garisan” yang bakal disiarkan di Astro Ria (saluran 104) mulai 9 Januari depan. Ia akan ke udara pada setiap hari Isnin pukul 9 malam.

Menurut penerbit dan pengarahnya, Shahrul Ezad Mohameddin, drama itu digarap dalam menyampaikan cerita-cerita teladan untuk mengajak penonton ke arah kebaikan.

“Dalam diri setiap orang ada baik dan buruknya yang mana memisahkan dua sifat itu adalah dua garisan halus.

“Saya akui drama ini boleh dijadikan sebagai salah satu medium untuk berdakwah. Jika kita lihat kebanyakan drama di Astro Ria ia lebih berunsur hiburan.

“Drama yang memberi pengajaran seperti ini sebenarnya semakin mendapat permintaan ramai di kalangan penonton,” katanya semasa sidang media drama tersebut di The Tranquerah, Encorp Stand, Kota Damansara, Isnin lalul.

Jelasnya lagi, biarpun drama ini mengisahkan pelbagai sisi kehidupan, Ezad cuba mengadunkan unsur humor dan sinis agar dapat mempelbagaikan persembahan drama itu.

“Plot ceritanya sederhana, cuma yang membezakan adalah karakter dalam setiap cerita. Yang penting, saya cuba membikin drama ini tidak terlalu menjurus ke arah keislaman sebaliknya kandungan yang dihidangkan lebih ringan agar mudah diterima penonton.

“Bagaimanapun setiap siri yang disiarkan akan membuatkan penonton berfikir bahawa tidak semua manusia yang berbuat silap atau jahat akan jahat selama-lamanya dan tidak semua manusia yang baik tidak melakukan kesilapan,” ujarnya lagi.

Drama 13 siri ini turut diarahkan oleh Bahri Umararif Bajuri dan Ungku Ismail Aziz. Ia dilakonkan oleh Harun Salim Bachik, Qazem Nor, Amar Ashraff, Fazurina, Hasnol Rahmat, Fazlina Ahmad Daud, Jasmin Hamid, Sharifah Shahira, Khairil Amilin, Farid Kamil, Julia Ziegler, Sabrina Ali, Jimmy Shanley. Rusdi Ramli, Aziz M. Osman, Anding, Siti Elizad dan Adrea Abdullah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain