suria

Naskhah Natrah Bakal Difilemkan Tahun Depan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan buku Natrah di Universiti Teknologi Malaysia Cawangan Kuala Lumpur hari ini. Turut serta, penulis karya Natrah, Datin Seri Fatini Yaacob.Foto THE STAR Oleh:AZHAR MAHFOF.

Jika segalanya berjalan lancar, karya naskhah Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata akan difilemkan pada tahun hadapan.

Menurut penulisnya, Datin Seri Fatini Yaacob, beliau sendiri akan menulis skrip bagi filem berkenaan selepas menemui penerbit yang bersetuju berkolaborasi menerbitkan karya bersejarah itu.

“Buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada penjualan buku terlebih dahulu.

"Insya-Allah tahun depan saya lihat sesuai untuk saya serius dalam usaha menerbitkan filem ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata di Universiti Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Fatini berkata usaha untuk menerbitkan filem itu tercetus kerana Natrah merupakan khazanah yang memiliki nilai estetika yang tinggi.

“Dalam Natrah ada roh perjuangan Islam dan bangsa Melayu yang besar. Kalau itu tidak diterapkan masuk betapa ruginya kerana ia merupakan khazanah yang sangat besar nilainya,” katanya.

Beliau mengambil masa hampir tiga bulan menulis kisah Natrah selepas membuat kajian penyelidikan selama 21 tahun daripada manuskrip, buku-buku yang pernah menceritakan mengenai figura itu serta menemuramah seorang ahli perniagaan Haja Maideen yang merupakan rakan suami Natrah, Mansor Adabi.

“Banyak masa yang telah dicurahkan selama menulis Natrah. Suami saya, Datuk Seri Alies Anor yang menjadi sumber inspirasi dan begitu memahami ketika saya menulis karya Natrah ini,” katanya.

Jelasnya, karya Natrah akan kekal relevan sampai bila-bila selagi wujudnya bangsa Malaysia dan orang Melayu di negara ini.

“Selagi masih ada undang-undang sivil dan undang-undang syariah, konflik pasti wujud kerana kisah Natrah akan mengingatkan kita tentang semua perkara ini,” katanya.

Natrah diterbitkan oleh Penerbit UTM Press dan dijual pada harga RM75 di pasaran.

Sejak diterbitkan pada awal tahun ini, buku ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan tersenarai sebagai ‘10 paling laris’ bagi kategori fiksyen buku tempatan selama empat minggu berturut-turut di laman web, Mphonline.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain