suria

Lambat 'Panas' Punca JD Tersingkir Raja Lawak

JD tersingkir pada minggu ketiga Raja Lawak 4. - Foto Utusan
JD tersingkir pada minggu ketiga Raja Lawak 4. - Foto Utusan
JD tersingkir pada minggu ketiga Raja Lawak 4. - Foto Utusan

MINGGU ketiga program realiti Raja Lawak 4 (RL4) yang bertemakan 'Tabiat Rakyat Malaysia' telah menyaksikan penyingkiran JD atau nama sebenar Ahmad Zaidi Masri, 30, malam tadi (kelmarin).

Peserta berasal dari Perak itu terpaksa meninggalkan gelanggang (RL4) apabila diumumkan sebagai peserta yang mengutip peratus undian terendah dengan hanya 5.7 peratus, berbanding dua lagi peserta di kedudukan tiga terendah, Caca (7%) dan Faiz (7%).

JD yang mempersembahkan konsep parodi kepada drama bersiri popular Nur Kasih dan imitasi usahawan produk kecantikan, Dr. Rozmey telah memperlihatkan perubahan pada bentuk persembahannya untuk minggu ketiga.

Namun, ia masih gagal memikat undian penonton ekoran kesilapan yang dilakukan di dua minggu pertama persembahannya.

Menurut JD, dia tidak menafikan perasaan kecewa dengan diri sendiri kerana telah salah strategi dan lambat bertindak dalam memikat penonton program itu.

"Jujurnya saya kecewa dengan diri sendiri kerana strategi lawak yang saya cuba ketengahkan tidak menjadi di mata penonton. Memang salah saya kerana lambat 'panas' dan mengambil masa sehingga minggu ketiga baru hendak ubah cara dan stail lawak.

"Saya lakukan kesilapan menerusi persembahan saya dua minggu lalu. Konsep lawak saya tidak dekat dengan penonton kita dan perkara itu secara tidak langsung telah 'menjauhkan' saya daripada penonton.

"Di sudut positifnya, saya gembira kerana sempat ubah persembahan lawak saya untuk minggu ini dan berjaya membuatkan penonton gelak dan terhibur malam ini," kata JD yang menampakkan air muka yang kecewa.

Bagaimanapun, dia tetap berpuas hati kerana dapat menampilkan persembahan lawak yang diingini oleh peminat (RL4) untuk minggu ini.

Terdahulu, JD dilihat agak asing dengan pendekatan dan konsep lawak yang kurang diterima oleh penonton dalam dua minggu sebelum ini.

Bangkit daripada kesilapannya di dua gelanggang yang lalu, JD cuba membawa kelainan dan nyata mampu menggamatkan studio menerusi persembahannya, malam Ahad lalu.

Namun, ia disifatkan sebagai permulaan yang lambat untuk memancing undian penonton hingga akhirnya jurutera lulusan Jepun itu terpaksa akur meninggalkan program itu.

"Walaupun tersingkir di peringkat awal seperti ini, saya tetap bersyukur kerana sempat juga mengenalkan diri kepada khalayak selama tiga minggu ini.

"Ini merupakan platform terbaik saya untuk kembangkan bakat," kata JD lagi yang turut cenderung dalam bidang nyanyian dan mempunyai sebuah kumpulan muzik, Danji300.

Mengulas penyingkiran JD, Afdlin Shauki yang mewakili dua lagi juri tetap, Bob Lokman dan Din Beramboi, berkata, persembahan JD telah menampakkan peningkatan dan lebih relevan dengan selera penonton program itu.

Namun, Afdlin juga tidak menafikan ia suatu permulaan yang lewat buat JD untuk menarik perhatian dan undian penonton.

"Persembahan JD untuk minggu ini boleh disifatkan sebagai persembahan terbaiknya selama tiga minggu program ini bersiaran.

"Berbanding dengan persembahannya untuk dua minggu lepas, JD telah lakukan yang terbaik untuk malam ini (kelmarin).

"Apa yang kami (juri) boleh katakan mengenai punca penyingkirannya malam ini bertitik tolak daripada mutu persembahannya untuk dua minggu yang lalu.

"Memang dia bagus malam ini, tetapi mungkin ia terlalu lambat untuk pikat undian penonton," kata Afdlin ringkas.

Menutup tirai persembahan minggu ketiga, tiga peserta yang berada di kelompok teratas ialah Idlan (30.3 peratus), Alex (11.7 peratus) dan kumpulan Kecik (10.9 peratus).

Artikel Lain