suria

Ziela Jalil Pertaruh Alex Komang-Eman Manan Untuk 'Kabus'

Sebagai penerbit, Ziela sanggup bayar lebih demi mendapatkan khidmat pelakon yang berkualiti untuk drama terbitannya.
Sebagai penerbit, Ziela sanggup bayar lebih demi mendapatkan khidmat pelakon yang berkualiti untuk drama terbitannya.
Sebagai penerbit, Ziela sanggup bayar lebih demi mendapatkan khidmat pelakon yang berkualiti untuk drama terbitannya.

BARISAN pelakon handalan, baik drama TV atau filem, banyak membantu jalan penceritaan.

Disebabkan kriteria ini juga, penerbit syarikat produksi Pena Creative, Ziela Jalil, yang pernah menjadi aktres popular satu ketika dulu, tidak pernah berkira soal wang ringgit atau berkompromi bila tiba soal pelakon.

"Biarlah bayar lebih sikit tapi hasilnya membanggakan," kata penerbit berjaya ini.

Terbaru, Ziela melamar nama-nama besar seperti pelakon terkenal Indonesia Alex Komang dan Eman Manan untuk membantu 'menjual' telefilem terbitannya berjudul Kabus.

"Saya sudah lama ingin melihat gandingan Alex Komang dan Eman Manan. Peluang yang datang ketika melihat jalan cerita Kabus yang mempunyai konsep ketuhanan dan mendapat hidayah membuat saya terpanggil untuk mengambil dua nama besar ini berlakon sama," kata Ziela ketika ditemui di 'Majlis Penuh Rahsia Azwan Ali' bertempat di Palace of The Golden Horses baru-baru ini.

Menurut Ziela, skrip Kabus dihasilkan oleh Hilal Azman, aktor yang pernah mendapat gelaran 'Pelakon Terbaik' satu ketika dulu dan digarap oleh Ismail Yaacob.

"Ceritanya tentang dua orang lelaki yang sesat di dalam hutan dan mereka saling membantu setelah mendapat petunjuk dan hidayah ketika terperangkap untuk mencari jalan keluar dari hutan," kata Ziela.

Selain Kabus, Ziela juga akan menggandingkan barisan pelakon handalan seperti Azean Irdawaty, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar untuk telefilem berikutnya yang bertajuk, Fatwa Pujangga di bawah produksinya, Pena Creative Pictures Sdn Bhd.

Telefilem tersebut akan menjalani penggambaran pada pertengahan Februari.

"Jalan cerita drama ini berkisar hal keluarga dan idea asalnya datang daripada saya sendiri.

"Tapi saya tidak dapat menjelaskan secara terperinci atas sebab-sebab tertentu," jelas penerbit jelita yang kini berstatus janda anak dua setelah suami tercinta, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob meninggal dunia pada 24 Januari, 2008.

Menurut Ziela, yang kini lebih agresif menghasilkan drama-drama yang berkualiti, kemungkinan besar dia akan terlibat menerbitkan sebuah filem tahun ini.

"Saya bukan tak teringin buat filem tapi risikonya besar jadi saya tak berani melabur begitu banyak wang untuk itu.

"Insya-Allah, saya akan terbitkan filem juga bersama seorang rakan bisnes. Tengoklah macam mana hasilnya nanti," jelas Ziela yang sudah pun meneliti sebuah skrip untuk dijadikan filem.

Kata Ziela lagi, selain barisan pelakon, kriteria lain yang dititikberatkan ialah soal skrip.

Malah setelah dinobatkan sebagai produser terbaik menerusi drama-drama produksinya, Ziela terpaksa mencari formula bagaimana untuk terus konsisten menghasilkan drama-drama berkualiti.

"Kadang tu saya buntu juga kerana produksi saya sudah diletakkan satu piawai. Nak tak nak, saya terpaksa berusaha kekalkan standard itu.

"Maknanya saya kena usaha lebih sikit dan belanja pun lebih lah," jelas Ziela yang pernah mendapat jolokan aktres seksi satu ketika dulu.

Dalam usia 40 tahun dan memegang status janda, Ziela tidak terkecuali dari terkena tempias fitnah orang. Ramai juga yang bertanyakan adakah Ziela akan terus keseorangan tanpa pendamping bernama suami.

"Sudah dua tahun arwah meninggalkan saya dan anak-anak. Saya masih teringatkan arwah. Buat masa ni, memang hati saya sudah tertutup untuk berkahwin lagi...," jelas Ziela.

Namun sahabat baik yang dianggap seperti kakak kandung, produser Julie Dahlan selalu menasihati Ziela agar 'cakap berlapik.'

"Kak Julie selalu nasihat Ziela, jangan cakap habis. Mana tahu esok lusa, ada jodoh Ziela ke. Jadi, Ziela tak berani cakap...," kata aktres rupawan yang nama asalnya Norzilah Abdul Jalil ini.

Bagi aktres yang mula terjun dalam bidang lakonan di bawah pengarah A R Badul melalui filem humor, Mr Os, walau apa sekalipun keputusan, dia akan berfikir semasak-masaknya sebelum mengorak langkah ke hadapan.

Dan tentu sekali sebagai ibu penyayang, masa depan dua buah hatinya, Puteri Julia Nabilah, 18, dan Megat Jufri Nasrullah, 16, tidak akan terabai.

"Kebahagiaan Julia dan Jufri adalah segalanya buat saya," jelas Ziela yang turut mendapat bimbingan daripada pengarah terkenal seperti Aziz Sattar dalam filem Perawan Malam, Othman Hafsham (Ujang), Zek Lokman (Konstabel Mamat), Rahim Razali (Rentak Desa), Nasir Jani (Rozana Cinta 87), dan Raja Alauddin (Kayangan).

"Saya tidak boleh bertindak terburu-buru. Tidak kiralah apa pun yang saya lakukan di dalam kehidupan saya, anak-anak adalah prioriti hidup saya," tutur Ziela lembut.

Bagi Ziela yang pernah mencipta nama sebagai bintang filem dalam filem-filem Indonesia seperti Tarzan Rimba (bersama Barry Prima), Pancasona, Jurus Dewa Naga dan Pendekar Mata Satu, jodoh adalah hak mutlak si pencipta.

"Jodoh pertemuan Allah yang tentukan, itu saya akur tapi untuk berkahwin lagi, bukan perkara utama dalam hidup saya. Saya perlu mencari rezeki meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal," jelas Ziela yang pernah diperkenalkan dalam filem Harry Boy.

"Ada jodoh, adalah. Kalau tak ada pun Alhamdulillah...," kata Ziela dengan nada pasrah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain