suria

Sazzy & Sein Tidak Sangka Ke Malam Kemuncak SB

Pasangan Sein dan Nana mendapat undian tertinggi di Minggu Ke-9, sekaligus mengenepikan pasangan Isma dan Zul untuk mara ke pentas akhir. - Foto oleh Astro
Pasangan Sein dan Nana mendapat undian tertinggi di Minggu Ke-9, sekaligus mengenepikan pasangan Isma dan Zul untuk mara ke pentas akhir. - Foto oleh Astro
Pasangan Sein dan Nana mendapat undian tertinggi di Minggu Ke-9, sekaligus mengenepikan pasangan Isma dan Zul untuk mara ke pentas akhir. - Foto oleh Astro

MEREKA pernah diuji dengan pelbagai jenis tarian dan cabaran sepanjang sembilan minggu berada di Sehati Berdansa (SB).

Kini, selepas mengharungi minggu-minggu yang penuh kontroversi dan berwarna-warni, segala penat lelah pasangan Sazzy dan Nazril juga pasangan Sein dan Nana terbalas akhirnya, apabila termaktub sebagai dua finalis yang bakal bersaing di pentas akhir program realiti dansa popular itu.

Pasangan Sein dan Nana yang mendapat peratus undian tertinggi sebanyak 70 peratus sama sekali tidak menjangka akan layak ke peringkat akhir. Menurut Sein, dia agak terkejut dengan kejayaan mereka suami isteri.

"Saya dan isteri tidak sangka sebenarnya. Mungkin rezeki memihak kepada kami malam ini.

"Kami telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan berpenat-lelah bersama-sama daripada minggu pertama lagi.

"Ini ketentuan daripada Allah dan kami amat bersyukur di atas peluang ini," kata Sein.

Pasangan yang paling menyerlah musim ini, Sazzy dan Nazril menepati ramalan banyak pihak apabila turut berjaya menempatkan diri di pentas akhir SB.

Dengan meraih undian kedua tertinggi, 61 peratus, Sazzy dan Nazril berjaya membuktikan kesungguhan dan usaha mereka sepanjang sembilan minggu di SB terbayar dengan pemilihan itu.

Menurut Sazzy yang ditemui selepas program Debaran SB kelmarin, dia tidak menyangka akan melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.

Disulami perasaan bercampur-baur, Sazzy mengakui, dia dan suami teruja dan gembira di atas kejayaan mereka yang berpeluang untuk beraksi di Malam Kemuncak SB.

Aktres genit yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Gol & Gincu itu tidak dapat menyembunyikan kesedihan dan rasa terkilan kerana dia sebenarnya berharap agar ketiga-tiga pasangan yang bertanding di peringkat separuh akhir dapat berentap di pentas akhir.

Namun, Sazzy akur dengan format pertandingan yang telah menetapkan kemaraan ke pentas akhir hanya untuk dua pasangan sahaja.

Menyingkap pengalamannya sepanjang menyertai program itu, Sazzy menyifatkan tempoh sepanjang berada di dalam program itu adalah waktu terbaik di dalam hidupnya.

"Saya cukup gembira sepanjang berada di dalam SB. Pengalaman sepanjang sembilan minggu di sini adalah waktu terbaik di dalam hidup saya.

"Kami (peserta) menjadi rapat antara satu sama lain. Sebelum ini, memang saya kenal mereka semua, tapi tidak kenal dengan rapat.

"Namun, sejak menyertai SB, kami lebih rapat antara satu sama lain. Boleh dikatakan setiap minggu kami akan berkumpul di rumah setiap peserta secara bergilir-gilir untuk menonton Malam Sehati Berdansa.

"Pengalaman berada di dalam program ini begitu istimewa di dalam hidup saya. Saya bangga dapat menyertai SB. Banyak perkara baru yang saya pelajari, selain menjadi lebih rapat dengan peserta-peserta lain," katanya.

Menyentuh aspek pertambahan jumlah wang sumbangan kepada persatuan kebajikan untuk musim ini, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pihak Astro menaikkan jumlah wang sebanyak RM5,000 bagi juara dan tempat kedua kerana ingin menyumbangkan lebih nilai kepada badan-badan kebajikan terbabit.

"Jika di musim lalu, jumlah wang tunai untuk tempat pertama dan kedua adalah sebanyak RM15,000 dan RM10,000.

"Namun, untuk musim ketiga ini, kami (pihak Astro) memutuskan untuk menambah lagi RM5,000 untuk juara dan naib juara.

"Ini menjadikan nilai wang tunai untuk juara dan naib juara musim ini kepada RM20,000 dan RM15,000 masing-masing.

"Pasangan selebriti yang bertanding juga tidak akan pulang dengan tangan kosong.

"Pasangan juara akan pulang dengan sebuah kereta dan pakej percutian manakala tempat kedua akan menerima pakej percutian. Koreografer setiap pasangan akan mendapat pakej percutian untuk setiap seorang," kata Azlin.

Malam Kemuncak SB yang bakal berlangsung pada 26 Disember 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) akan mengangkat tema Kontemporari Melayu dan Latin sebagai rutin tarian buat dua pasangan ini.

Kesemua lapan peserta finalis yang menyertai SB musim ini juga akan beraksi sekali lagi di malam akhir SB menerusi sebuah persembahan istimewa.

Dengan menyerahkan 100 peratus kuasa undian kepada penonton, Malam Kemuncak SB Sabtu ini, akan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Adam dan Stacy.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain