SEORANG wanita yang baru tiga hari mendirikan rumah tangga nekad menuntut cerai selepas mendakwa suaminya yang merupakan seorang jurutera mengaku tidak mampu melakukan hubungan kelamin.
Dakwanya lagi, pengakuan tersebut dibuat pada malam pertama perkahwinan mereka yang berlangsung pada 28 November lalu.
Susulan itu, wanita ini memaklumkan perkara tersebut kepada bapanya yang hadir untuk melakukan ritual keagamaan pada 1 Disember.
Dia kemudian dibawa pulang ke rumah keluarganya sebelum kedua-dua belah pihak bertemu semula pada 3 Disember lalu.
Suaminya yang baru berusia 25 tahun diminta membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta yang akhirnya mendedahkan dia tidak 'berkeupayaan' secara fizikal dan tidak boleh menjadi bapa.
Keluarga pengantin lelaki bagaimanapun menafikan laporan perubatan berkenaan sehingga menyebabkan pihak perempuan membuat laporan polis.
Lebih mengejutkan apabila keluarga perempuan menuduh pihak lelaki sengaja menyembunyikan keadaan kesihatan tersebut kerana pernah berkahwin dua tahun lalu sebelum bercerai selepas sebulan mendirikan rumah tangga atas alasan yang sama.
Kejadian dilaporkan berlaku di Gorakhpur, India.
Kedua-dua belah pihak bagaimanapun 'berdamai' selepas terdapat campur tangan polis dengan pihak lelaki bersetuju memulangkan ₹7 lakh (RM32,060) kos perkahwinan bersama semua hadiah dalam tempoh sebulan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Stesyen Sahjanwa, Mahesh Chaubey mengesahkan kejadian pada Rabu.
"Kedua-dua keluarga berhubung, dan perkara itu sedang diselesaikan bersama," ujarnya.
Malah dia turut menyatakan pihak wanita menghantar notis perundangan yang menyatakan dia tidak dapat hidup bersama lelaki yang tidak mempunyai 'keupayaan' fizikal.
"Saya tidak boleh hidup dengan lelaki yang tidak mampu dari segi fizikal. Saya mengetahuinya pada malam pertama apabila dia sendiri memberitahu saya," ujar wanita ini menerusi notis perundangan. -Agensi


