suria

Mak terkedu, ayah naik angin... Anak 8 tahun potong rantai emas ibu, hadiahkan kepada rakan sekelas

Rakaman CCTV membongkar tindakan 'luar biasa' budak lelaki berkenaan. -Foto QQ.com/SCMP

SEORANG budak lelaki berusia lapan tahun bertindak memotong rantai emas milik ibunya kepada beberapa bahagian kecil untuk dijadikan sebagai hadiah kepada rakan sekelasnya.

Perbuatan luar biasa itu hanya disedari sebulan kemudian, menyebabkan ibunya berasa marah tetapi pada masa sama tidak dapat menahan geli hati.

Bapanya pula bertindak memukul kanak-kanak itu sebagai hukuman kerana mereka tidak dapat mendapatkan semula keseluruhan emas tersebut.

Kejadian tersebut berlaku di Zaozhuang, wilayah Shandong di timur China.

"Mungkin anda fikir ini hanya cerita lucu yang direka, tetapi ia benar-benar berlaku," tulis ibu kanak-kanak tersebut, Sun, di media sosial pada 28 November lalu.

Sun berkata segala-galanya terbongkar selepas anak perempuannya memberitahu bahawa ada murid mengakui menerima sekeping emas daripada adik lelakinya.

Apabila ditanya, kanak-kanak itu mengakui emas tersebut diambil daripada rantai leher milik ibunya.

Sun dan suami meneliti rakaman kamera litar tertutup dan akhirnya menemui detik ketika anak mereka membuka laci, mengambil rantai emas miliknya, kemudian menggunakan playar dan pemetik api untuk melembutkan rantai sebelum menggigitnya menjadi kepingan kecil.

Sun hanya menemui sebahagian kecil daripada rantai emas miliknya itu.

Seorang peguam dari wilayah Hebei berkata bahawa seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dianggap mempunyai kapasiti terhad dalam tindakan sivil mengikut undang-undang China. 

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan memukul kanak-kanak itu adalah menyalahi Undang-undang Perlindungan Juvana negara tersebut. -Agensi

Artikel Lain