SATU rakaman mencemaskan menarik perhatian pengguna media sosial, memaparkan seorang wanita hampir terjatuh dari balkoni tingkat 10, ketika cuba melarikan diri daripada isteri kepada kekasihnya.
Menurut jiran yang menyaksikan kejadian, wanita berkenaan dilihat tergantung pada bahagian luar balkoni dan hampir terlepas pegangan, sekali gus mencetuskan suasana panik penghuni lain.
Rakaman video [Tonton Video] kejadian yang berlaku di Guangdong, China, itu menunjukkan seorang lelaki tanpa baju, dipercayai kekasih wanita itu, berbual dengannya melalui tingkap sebelum wanita tersebut cuba turun bangunan melalui saluran paip air.
Dia yang dipercayai berstatus perempuan simpanan kemudian dilihat menghampiri tingkap seorang penghuni dan meminta bantuan.
Nasib menyebelahinya apabila penghuni rumah tersebut segera membuka tingkap dan menariknya masuk ke tempat selamat.
Media tempatan melaporkan, wanita itu panik apabila isteri kepada kekasihnya pulang ke rumah lebih awal daripada dijangka, menyebabkan dia perlu bertindak menyembunyikan diri.
Video berkenaan tular di platform media sosial di China dan mencetuskan pelbagai spekulasi serta perbincangan hangat dalam kalangan netizen. -Agensi


