SEORANG lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai diserang seekor kera jantan agresif.
Insiden tragis itu berlaku di wilayah Yala, Thailand.
Berdasarkan laporan, mangsa, Chaiphum Sae-eung, 63, dipercayai cuba melawan haiwan liar itu yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya.
Namun kera tersebut dikatakan bertindak ganas dengan mencakar mangsa beberapa kali sebelum menggigit bahagian kaki kirinya sehingga berlaku pendarahan.
Akibat kecederaan serius itu, mangsa dilaporkan rebah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayatnya ditemukan pada Sabtu dalam keadaan bersandar pada dinding rumah dengan puluhan kesan gigitan pada tubuh.
Menurut anak saudaranya, Pipat Sae-eung, dia menemukan mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah, manakala di tangannya masih menggenggam sebatang besi dipercayai digunakan bagi mempertahankan diri.
Menurut Ketua Polis, Mejar Jakkarin Laksana, pihaknya mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemukan.
Ia berikutan keadaan tubuh mangsa yang sudah mengembang dan berbau.
"Kami tidak mengesyaki pembabitan mana-mana individu dalam kematian ini. Walau bagaimanapun, mayat dihantar ke Hospital Betong untuk bedah siasat," katanya.
Susulan insiden tragis itu, pihak berkuasa mengeluarkan arahan tembak untuk membunuh kera berkenaan kerana dikhuatiri terus mengancam keselamatan penduduk.
Tambahan pula pada ketika itu, kera jantan tersebut masih berada di bahagian bumbung rumah sambil melihat anggota keselamatan yang berada di lokasi kejadian.
Penduduk kampung memaklumkan haiwan itu sudah beberapa minggu berkeliaran secara agresif sambil mengekori seekor kera betina, dan pernah menyerang Chaiphum kira-kira 10 hari sebelum kejadian maut itu. -Agensi


