SEEKOR beruang hitam menyerang seorang penjaga zoo, dalam kejadian di Taman Safari Hangzhou, Zhejiang, China pada Ahad.
Pihak pengurusan zoo memaklumkan bahawa insiden itu berlaku kerana penjaga berkenaan membawa sebuah beg besar berisi lobak merah dan epal, yang menarik perhatian beruang tersebut.
Haiwan itu dipercayai teruja lalu melompat ke arah penjaga bagi cuba mendapatkan makanan.
Beberapa video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan detik cemas ketika penjaga berkenaan bergelut untuk melepaskan diri sementara beruang itu terus menerkamnya.
Beberapa kakitangan zoo kemudiannya bertindak menghentikan serangan beruang itu dengan menggunakan peralatan dan seperti bangku dan batang kayu.
Penjaga itu akhirnya berjaya melepaskan diri dalam pergelutan dengan haiwan berkenaan.
Klip video insiden tersebut pantas merebak di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan persembahan haiwan secara langsung.
Sementara itu menerusi kenyataannya, Taman Safari Hangzhou mengesahkan bahawa tiada kecederaan serius dialami oleh penjaga mahupun beruang.
Pihak zoo turut memohon maaf atas kelemahan pengendalian di tempat kejadian sehingga menimbulkan pengalaman buruk kepada pengunjung. -Agensi


