SEORANG lelaki warga Nepal didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu atas kesalahan meliwat seekor kucing.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh, Arman Shah mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendera seekor kucing secara kejam.
Mahkamah turut memerintahkan bekas pengawal keselamatan yang berusia 33 tahun itu dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Arman yang masih bujang dituduh dengan kejam mendera seekor kucing di tingkat empat sebuah blok pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada pukul 12.30 tengah malam pada 15 November lalu.
Semasa prosiding, Arman yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan.
“Saya salah, kurangkan hukuman, saya nak balik Nepal sebab mak sakit,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal menegaskan kelakuan tertuduh sangat keterlaluan, kejam dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.
"Kes ini mendapat perhatian umum sehingga menimbulkan kemarahan dan kegusaran orang awam.
"Mohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan hanya kepada tertuduh malah masyarakat,” katanya.
Tertuduh kini juga sedang menjalani penjara empat bulan atas kesalahan berpakaian separuh bogel dan memasuki negara tanpa dokumen sah.
Sebelum ini media melaporkan seorang wanita yang berada dalam kereta melihat seorang lelaki memegang seekor kucing dan membuka seluar sebelum melakukan perbuatan itu.
Wanita itu kemudian meminta suaminya menegur perbuatan tertuduh dan ketika sampai di atas, suami pengadu turut melihat tertuduh dalam keadaan bogel.
Selepas ditegur, tertuduh memakai semula seluar dan mencampak kucing itu jatuh ke bawah sebelum masuk ke rumah sewanya.


