suria

JPN Kedah siasat isu sekolah jemput influencer rasmi majlis anugerah

Tangkap layar (screenshot) imej daripada akaun pempengaruh berkenaan yang mendakwa dirinya menjadi jemputan di sebuah sekolah bagi merasmikan majlis anugerah akademik.

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan sebuah sekolah di negeri tersebut yang menjemput seorang pempengaruh media sosial untuk merasmikan majlis anugerah akademik, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, JPN Kedah memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa.

"JPN Kedah mengingatkan semua pentadbir sekolah untuk memastikan jemputan kepada pihak luar mematuhi garis panduan. 

"Tetamu yang dijemput perlu menjadi contoh yang baik selari dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara," menurutnya lagi.

Terdahulu pempengaruh berkenaan memuat naik gambar dan video di akaun media sosialnya, meluahkan rasa gembira dan terharu kerana dijemput menjadi perasmi majlis anugerah akademik di sebuah sekolah di Kedah.

Dalam temu bual bersama mStar pada Isnin, pempengaruh berkenaan menjelaskan bahawa jemputan berkenaan dibuat atas kapasitinya sebagai seorang usahawan muda yang dilihat mampu memberi inspirasi kepada pelajar.

Artikel Lain

Daddy Rock meninggal dunia