SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun kini kembali menikmati sinar harapan baharu selepas menjalani pembedahan jantung yang rumit, hasil bantuan Program Dana Perubatan Star Foundation serta kemurahan hati rakyat Malaysia.
Pada 2 September lalu, Chiet A/L Ailai dibawa masuk ke bilik pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani prosedur penting bagi membantu menyelamatkan nyawanya.
Di luar bilik bedah, bapanya, Ailai A/L Eperoi, dan adik-beradiknya menunggu dalam keadaan cemas, berdoa agar semuanya berjalan lancar.
Selepas beberapa jam menanti, doktor akhirnya keluar dengan berita yang paling ditunggu-tunggu.
"Bersyukur, lega, gembira... semuanya bercampur aduk," kata Ailai sambil mengimbas detik penuh emosi itu.
"Selepas penantian yang lama, kami sangat bersyukur melihatnya selamat," ujarnya.
Dilahirkan di Sik, Kedah, perjalanan hidup Chiet tidak pernah mudah.
Ketika berusia enam hari, dia disahkan menghidap Transposition of the Great Arteries (TGA), sejenis penyakit jantung kongenital yang jarang berlaku.
Dia kemudian menjalani pembedahan suis arteri berisiko tinggi di Pulau Pinang, untuk membolehkannya membesar seperti kanak-kanak lain.
Walaupun mempunyai sejarah perubatan yang rumit, Chiet tetap aktif di sekolahnya, SMK Lubok Merbau di Pendang.
Ceria dan meminati bola sepak, Chiet menyimpan impian untuk menjadi jurutera mekanikal.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia memang prihatin! Sepakat kumpul dana RM50,000 demi pembedahan jantung remaja 15 tahun
Namun pada Februari lalu, semasa pemeriksaan rutin di Hospital Sultanah Bahiyah, doktor mengesan supravalvular neo-aortic stenosis, iaitu penyempitan berbahaya pada saluran utama jantung.
Berita itu memberi tamparan hebat kepada Ailai yang hanya bekerja sebagai petani dan memperoleh pendapatan kira-kira RM600 sebulan, sedangkan kos pembedahan yang diperlukan mencecah RM80,000, satu jumlah yang mustahil ditanggung keluarga.
Abang sulung Chiet, Somrath, 26, bekerja sebagai buruh dan menyumbang RM500 untuk menampung keluarga, manakala kakaknya, Junytaa, 22, tinggal di rumah bagi membantu menjaga adik-adiknya selepas kematian ibu mereka pada 2020.
Di tengah-tengah kebuntuan, bantuan bagaimanapun hadir apabila Star Foundation, melalui Program Dana Perubatan, melancarkan kempen untuk mengumpul RM50,000, manakala sebuah lagi NGO tampil membantu menampung baki sebanyak RM30,000.
Tidak sampai beberapa hari, rakyat Malaysia tampil menghulurkan sumbangan tanpa mengira amaun, sehingga sasaran kutipan berjaya dikumpul menjelang pertengahan Julai.
"Sokongan daripada Star Foundation dan orang ramai sangat bermakna bagi kami.
"Ia bukan saja membantu meringankan beban kewangan, tetapi memberi kekuatan untuk kami terus berjuang," kata Junytaa.
Sementara itu Chiet ketika ditemu bual melalui telefon melahirkan rasa syukur dan menzahirkan terima kasih kepada semua yang prihatin.
"Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan saya semakin pulih," katanya.
Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotoraks Pediatrik IJN, Dato' Dr Ahmad Sallehuddin, yang mengetuai pembedahan itu, mengesahkan prosedur berkenaan berlangsung lancar dan Chiet dijangka menikmati
kualiti hidup lebih baik selepas ini.
Kini, seisi keluarga melihat masa depan Chiet dengan penuh keyakinan.
"Harapan kami agar dia membesar dengan sihat, kuat dan terus mengejar impiannya.
"Kepada semua yang menderma, berdoa atau menyampaikan sokongan, kami benar-benar berterimakasih. Terima kasih kerana memberinya peluang kedua dalam hidup," ujar Junytaa lagi.
Chiet kini mampu kembali fokus kepada pelajaran, bola sepak dan cita-citanya untuk menjadi jurutera mekanikal.
Buat penyumbang, kejayaan ini juga adalah milik anda, di mana kebaikan dan keprihatinan telah mengubah hidup seorang remaja.
Star Foundation adalah organisasi amal Star Media Group.
Sejak 2016, Program Dana Perubatannya telah membantu individu kurang berkemampuan mendapatkan rawatan perubatan kritikal.
Untuk maklumat lanjut atau membuat sumbangan, layari starfoundation.com.my atau emel [email protected]


