DUA beranak ditemukan rentung manakala seorang lagi cedera selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Rathna di Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Hayani Yaakob, berusia dalam lingkungan 50-an, serta anak angkatnya, Andra, berusia antara empat hingga lima tahun.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemukan di ruang tamu berhampiran pintu utama rumah berkenaan.
Sementara itu, anak lelaki Hayani, Daniel Quyum Kamarozlan, dalam lingkungan 20-an, ditemukan cedera berhampiran pintu dapur selepas dihempap bumbung yang runtuh.
“Seramai 20 anggota dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, dibantu Balai Perda dan Penanti, dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.41 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Shoki memaklumkan, mangsa pertama, Daniel Quyum, berjaya diselamatkan pada pukul 10.21 pagi, manakala Hayani dan Andra ditemukan pada pukul 10.59 pagi.
"Api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 11.21 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.


