suria

Syed Saddiq ‘mastermind’ pengeluaran dana Armada RM1 juta - Pendakwaan

Prosiding berlangsung di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Khamis.

PIHAK pendakwaan berhujah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan mastermind atau dalang dalam kesalahan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin berhujah demikian ketika prosiding pendengaran rayuan untuk mengetepikan keputusan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar itu di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Khamis.

Ia berhubung sabitan dan hukuman penjara selama tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat tuduhan penyelewengan dana parti itu, tujuh tahun lalu.

Menurut Wan Shaharudin, panel hakim ketika prosiding di Mahkamah Rayuan gagal menilai keseluruhan keterangan saksi secara objektif dan menyeluruh.

ARTIKEL BERKAITAN: “Lima tahun itu neraka...” - Syed Saddiq tak akan lupa keperitan bersihkan nama, tapi enggan berdendam

Tambahnya, keterangan itu jelas menjurus kepada kesalahan persubahatan apabila responden didakwa memberikan arahan kepada bekas Penolong Bendahari, Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan wang milik Armada atas alasan tidak jujur.

Rafiq Hakim merupakan saksi pendakwaan ke-13 (SP13).

“Keterangan SP13 bahawa dia tidak akan mengeluarkan wang RM1 juta milik Armada jika tidak menerima arahan daripada ahli politik itu.

“Setiap peristiwa berlaku selepas arahan dikeluarkan sama ada kepada SP10, 11, 13. Maka jelas sekali dalang bagi setiap episod itu ialah responden sendiri,” katanya.

SP10 merujuk kepada bekas Exco Armada Bersatu, Abdul Hannaan Khairy.

SP11 pula merupakan bekas Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi.

Artikel Lain