AKSI zig zag sebuah bas berwarna pink yang tular di media sosial [Tonton Video] terjawab apabila pemandunya didapati positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata kejadian itu berlaku di Taman Angkasa Nuri di Alor Gajah, Melaka pada Rabu sekitar pukul 8.15 pagi.
Jelasnya, berdasarkan video tular tersebut, aksi berbahaya itu turut membabitkan Perodua Axia dengan kedua-dua kenderaan dari arah bulatan Taman Angkasa Nuri ke Jalan Industri Angkasa Nuri.
“Bas.My itu dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun, manakala kereta Perodua Axia dipandu wanita berusia 44 tahun.
“Berdasarkan rakaman video tular, kedua-dua kenderaan dilihat brek secara mengejut serta melakukan pergerakan zig-zag antara satu sama lain sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya pada Khamis.
Ahmad berkata, bagaimanapun tiada penumpang di dalam bas berkenaan ketika kejadian.
“Pemandu bas dibawa menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala pemandu kereta bebas daripada sebarang pengambilan dadah.
“Pemandu bas ditangkap dan permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.


