DUA hari sebelum bergelar raja sehari, penyanyi dan pelakon Erra Fazira mendedahkan dia dan pasangannya, Ezwan Zain mahu membuat kelainan pada majlis perkahwinan mereka dengan tidak membawa dulang hantaran.
Menurut Erra atau Fazira Wan Chek, 51, mereka ingin sesuatu yang lebih ringkas dan praktikal memandangkan masa untuk membuat persiapan agak suntuk.
Jelasnya, satu dulang besar atau disebut sebagai talam sudah memadai untuk memuatkan semua barang hantaran.

Erra (kiri) dan Ezwan membuat persiapan menjelang hari bahagia.
"Kami nak mencari barang hantaran, masa pun dah agak suntuk. Selalunya orang (pengantin) buat lima berbalas tujuh dulang hantaran. Ada juga tujuh berbalas sembilan dulang.
"Tetapi kali ini kami nak buat kelainan sikit, tak payah nak pening-pening, tak perlu nak ada dayang-dayang bawa dulang hantaran, kita satukan semua dalam talam saja.
"Satu dulang tetapi dulang yang agak besar boleh masukkan semua barang hantaran," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Erra, Ezwan nikah 12 Disember ini
ARTIKEL BERKAITAN: Erra Fazira kongsi detik awal bercinta dengan Ezwan Zain, bergayut telefon enam jam
Erra berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram Kasi Onz.
Dalam perkongsian video tersebut, Erra dan Ezwan dilihat berkongsi momen mereka membuat persiapan nikah termasuk berbelanja barang hantaran di pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur.
Kongsi penyanyi lagu Cinta Abadi itu, dia berasa gembira kerana dapat memilih beg tangan yang disukai sebagai salah satu hantaran.
"Alhamdulillah apa yang kami nak semuanya dapat. Saya dapat beg tangan yang saya suka. Walaupun tak klise sebab orang selalu fikir kalau beg tangan mestilah jenis yang cantik, klasik tetapi saya punya istimewa.
"Beg tangan itu sangat menunjukkan karakter saya yang sebenar. Kali pertama saya memandang beg tangan itu terus jatuh cinta.
"Bila Ezwan tengok beg itu pun dia cakap 'this is so you'. Sama juga pilihan beg untuk Ezwan, saya lihat ia sangat sesuai dengan gayanya," ujarnya.

Erra bakal bernikah pada 12 Disember ini.
Sebelum ini, Erra mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan Ezwan pada Jumaat ini.
Erra tidak dapat menahan sebak serta mengalirkan air mata ketika memaklumkan berita gembira itu.
Terdahulu, hubungan pasangan ini mula dihidu apabila Erra memuat naik ucapan berbaur romantik kepada Ezwan pada Januari lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


