suria

Berpuluh lagu ditapis, Shiha Zikir akhirnya temui ‘Jalan Cinta’ buat Raes Arifin

Raes Arifin tampil dengan single sulung berjudul Jalan Cinta yang sarat emosi dan dekat dengan kisah hidupnya.

BINTANG muda yang mula mencuri perhatian melalui program Gimme The Mic 2024, Raes Arifin kini melangkah lebih jauh dalam perjalanan seninya apabila tampil dengan single sulung berjudul Jalan Cinta. 

Kemunculan itu turut menandakan permulaan rasmi kerjayanya sebagai penyanyi di bawah naungan Shiha Zikir Empire (SZE).

Raes berkata, dia bersyukur kerana karya pertama yang dianggap cukup peribadi itu akhirnya dapat dipersembahkan kepada pendengar. 

Baginya, perjalanan muzik ini bukan sekadar debut, tetapi sebuah bab baharu yang membawa makna mendalam dalam hidupnya.

Raes merakamkan lagu itu dalam masa kurang sejam selepas dibimbing Shiha Zikir.

"Semestinya saya sangat bersyukur kerana saya mempunyai minat yang mendalam terhadap melodi dan nyanyian sejak dulu lagi.

"Nyanyian juga telah saya anggap sebagai satu ‘alat’ untuk saya bangkit daripada pelbagai liku hidup,” katanya. 

Menurut Raes, Jalan Cinta menjadi titik permulaan untuknya melangkah masuk ke dunia seni tanah air secara serius.

"Lagu Jalan Cinta ini menjadi titik tanda serta titik mula untuk saya masuk dalam dunia seni tanah air dan bergiat lebih serius lagi selepas ini, Insya-Allah,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Versatil! Shiha Zikir boleh menyanyi banyak bahasa, termasuk Jepun dan Sepanyol

ARTIKEL BERKAITAN: Amad dah minta maaf, terima baik teguran Shiha Zikir... Nafi sengaja buat gimik

Lagu terbitan kerjasama SZE dan Sony Music Malaysia itu mengetengahkan penceritaan mengenai cinta yang tidak kesampaian. 

"Jalan Cinta adalah tentang seorang pencinta yang memberikan segalanya, mencintai sepenuhnya tetapi tiba-tiba takdir tidak memihak kepada mereka. 

"Namun jauh di sudut hati, pencinta ini masih mengharapkan yang mereka dapat bersama semula,” jelasnya.

Raes berharap Jalan Cinta diterima baik dan menjadi permulaan perjalanan seninya dalam industri seni.

Perjalanan menghasilkan single ini turut menyaksikan komitmen tinggi daripada Shiha Zikir, pemilik SZE dan gurunya yang memastikan segala aspek dipilih dengan teliti.

"Saya beri sepenuh kepercayaan kepada Shiha dan label SZE untuk mencari dan menentukan lagu yang sesuai dengan suara dan cara nyanyian saya. Difahamkan, sampai berpuluh-puluh lagu juga dicari sehingga menemukan lagu Jalan Cinta ini. 

"Sesiapa yang mengenali Shiha, beliau memang kelihatan ceria tetapi apabila masuk hal pemilihan lagu, apatah lagi lagu pertama untuk saya, sisi diri beliau berubah sepenuhnya menjadi serius dan fokus demi mendapatkan hasil yang terbaik,"katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain