suria

Versatil! Shiha Zikir boleh menyanyi banyak bahasa, termasuk Jepun dan Sepanyol

PENYANYI Shiha Zikir memberitahu dia sentiasa menjaga standard setiap kali membuat persembahan sama ada di kaca televisyen mahupun di acara korporat eksklusif.

Shiha, 36, berkata setiap undangan yang diterima dianggap sebagai amanah besar untuk memuaskan hati klien dan tetamu yang hadir.

“Syukur Alhamdulillah, saya memang selalu memenuhi undangan persembahan korporat sejak dulu. Persembahan seperti ini adalah antara sumber pendapatan penting untuk penyanyi.

“Bila saya terima tawaran, saya akan cuba buat sehabis baik. Kehadiran saya bukan sekadar menyanyi, tapi saya akan berinteraksi, melakukan cabaran dan berborak dengan tetamu. Bukan datang menyanyi dan terus ucap selamat tinggal,” katanya.

Shiha tidak menyangka kemampuan menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa menjadi kelebihan kepadanya.

Menurut Shiha, kemampuan menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa turut menjadi kelebihan yang menjadikannya pilihan banyak syarikat. 

“Ramai suka bila saya boleh nyanyi dalam pelbagai bahasa. Dalam sesebuah syarikat, bukan semua bos orang Melayu. Ada dari Jepun, Thailand, Filipina dan banyak lagi.

“Kalau mereka minta lagu selain Melayu dan Inggeris, saya terus cakap boleh. Daripada awal datang Kuala Lumpur saya dah belajar lagu-lagu bahasa asing. 

"Kalau ada lagu yang saya tak pernah nyanyi, saya akan belajar sampai sebutan dan lenggoknya betul.

ARTIKEL BERKAITAN: Sukar kawal emosi, dua tahun Shiha Zikir simpan lagu ‘Renjana’... Menangis dalam bilik bila menyanyi

ARTIKEL BERKAITAN: Amad dah minta maaf, terima baik teguran Shiha Zikir... Nafi sengaja buat gimik

“Bahasa asing yang pernah saya nyanyi termasuk Mandarin, Kantonis, Tamil, Bollywood, Thailand, Filipina, Jepun, Korea, Sepanyol, Arab dan macam-macam lagi,” jelasnya.

Tambah Shiha, baru-baru ini dia berkesempatan untuk mempersembahkan lagu berbahasa Filipina dan Thailand di empat acara sempena persidangan ASEAN.

Selain aktif di pentas, Shiha kini sibuk menguruskan dua perniagaannya iaitu Shiha Zikir Empire (SZE) dan Shiha Zikir Nasi Ayam.

Dalam perkembangan lain, Shiha kini dalam fasa akhir menyiapkan single terbaharu berkonsepkan tradisional dengan elemen silat. Lagu itu bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain