suria

“Kalau harga tak sesuai, tolaklah dengan cara baik dan jangan mengata” - Tauke Jambu

Bagi Tauke penganjur ada hak tentukan artis mana mereka nak tawarkan kerja.

PELAWAK Tauke Jambu menjelaskan isu bayaran rendah membabitkan selebriti sentiasa menjadi topik hangat memandangkan penganjur kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih artis mengikut bajet masing-masing. 

Mengakui keadaan sekarang berbeza berbanding dahulu, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 49, menasihati artis supaya bersikap profesional apabila menghadapi tawaran yang kurang sesuai.

Tauke nasihat agar artis tolak cara baik jika terima tawaran kurang memberasangkan.

"Pada saya, zaman sekarang artis terlalu ramai. Jadi penganjur boleh memilih artis mengikut bajet yang ada. 

"Artis juga boleh membuat pilihan sendiri. Kalau rasa mampu dan sesuai, ambillah kerja tersebut. Tapi kalau harga tidak sesuai, tolaklah dengan cara baik dan jangan mengata," katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut mengenai cabaran dan pengalaman bekerja, Tauke menegaskan setiap peluang mempunyai baik buruknya dan setiap artis perlu meneliti setiap kos yang perlu ditanggung sebelum menerima sesuatu tawaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tauke Jambu tidak sangka kedai lempeng RM1 ‘full house’, tak malu berniaga tepi jalan 

ARTIKEL BERKAITAN: Sukar teruskan legasi Jambu tanpa Pak Yus, Tauke mahu ‘comeback’ lebih aktif di pentas lawak

Malah, pelawak itu berkata, zaman sekarang artis terlalu banyak terdedah kepada imej sempurna di media sosial sehingga tidak mencerminkan realiti sebenar industri seni. 

Tauke juga pernah menerima tawaran rendah namun tidak pernah mengeluh.

Dalam pada itu, Tauke juga mendedahkan bahawa dia pernah menerima bayaran yang tinggi, namun tidak terlepas berdepan pengalaman menerima bayaran rendah.

"Saya sendiri pernah menerima bayaran tinggi dan rendah. Saya pernah ditawarkan bayaran sekitar RM1,400. 

"Ada masanya saya terima tawaran sebegitu seperti mahu membantu kawan yang baru nak mula berniaga," ujarnya.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain