PELAWAK Tauke Jambu tidak menyangka idea spontan membuka kedai lempeng di Pasir Penambang, Kuala Selangor mendapat sambutan luar biasa.
Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 49, berkata perniagaan itu pada awalnya hanya bermula daripada kenangan zaman kecil yang membuatkan dia teringat masakan ibunya.
“Sebenarnya lempeng ini makanan nostalgia masa kecil. Satu hari saya teringat mak selalu buatkan untuk hidangan minum petang.

Tauke amalkan konsep berniaga sambil beribadah.
“Lempeng ini mudah je nak buat tapi sekarang orang ramai sibuk, tak sempat nak buat sendiri. Dari situ datang idea nak buka kedai. Tak sangka pula sambutan sangat luar biasa.
“Baru nak dekat sebulan berniaga, Alhamdulillah kedai sentiasa penuh sampai tak sempat nak rehat,” katanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Tauke, selain mencuba perkara baharu niat utama dia berniaga adalah untuk beribadah dengan berkongsi rezeki bersama orang ramai.
“Untung ada, tapi saya tak kejar banyak pun. Cukup untuk saya teruskan hidup seadanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sukar teruskan legasi Jambu tanpa Pak Yus, Tauke mahu ‘comeback’ lebih aktif di pentas lawak
ARTIKEL BERKAITAN: Tauke Jambu, 4 rakan mengaku tidak bersalah atas tuduhan miliki dadah jenis ketamin
“Saya nak berniaga sambil beribadah. Sekarang ini ramai yang terkesan dengan ekonomi, hujung bulan duit pun kadang-kadang tak cukup.
“Kalau bawa RM2 pun boleh kenyang makan lempeng dekat kedai saya. Bagi saya, sebagai peniaga jangan terlalu ‘lambung’ harga. Kena ada juga bahagian untuk sedekah dalam setiap jualan,” ujarnya.
Tauke berkata dia mahu memastikan harga yang ditawarkan kekal mampu milik agar semua lapisan masyarakat boleh menikmati hidangan lempeng yang dijualnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persepsi segelintir pihak terhadap artis yang berniaga di tepi jalan, Tauke berkata dia tidak kisah asalkan pekerjaan itu halal dan mampu menampung kehidupan.

Tauke tak malu berniaga di tepi jalan.
“Asalkan benda itu halal dan boleh sara keperluan harian, apa salahnya? Dunia glamor ini sementara saja. Apa yang penting kita kena fikir nak bagi makan anak isteri, bukan kejar populariti.
“Saya dah lama dalam dunia hiburan, jadi saya tahu rezeki ini bukan datang dari pentas semata-mata. Sekarang saya laksanakan tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah.
“Alhamdulillah, setakat ni saya teruskan selagi rezeki itu datang dengan cara yang halal,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


