suria

Isteri Nubhan sedia hantar LOD kepada pemfitnah, nafi keluar kenyataan mahu tuntut RM5 juta jika bercerai

Dr Afifah (kanan) tidak tahu bagaimana isu tuntutan RM5 juta boleh tersebar.

ISTERI kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek tidak teragak-agak untuk menghantar surat tuntutan atau letter of demand (LOD) kepada mana-mana pihak yang masih mengeluarkan kenyataan berhubung urusan rumah tangganya.

Dr Afifah berkata, langkah tersebut akan diambil sekiranya keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan melibatkan campur tangan pihak luar.

"Jika perkara ini jadi lebih teruk dan tak dapat lagi dibendung, kemungkinan saya akan hantar LOD sebab saya tak mahu orang luar campur tangan dalam urusan saya dengan Nubhan. 

"Isu perceraian kami memang ada kena mengena dengan keluarga tetapi orang luar lain tak perlu masuk campur," katanya ketika dihubungi mStar.

Dr Afifah tidak teragak-agak untuk memberikan surat tuntutan terhadap pemfitnah.

Ditanya mengenai dakwaan tuntutan RM5 juta yang dikaitkan dengan dirinya dan ibu, Dr Afifah menafikan pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

"Setakat ini hanya ibu saya membuat tindakan undang-undang terhadap sebarang unsur fitnah yang berlaku. Saya tak pasti macam mana kenyataan RM5 juta itu orang boleh tahu kerana saya tidak pernah buat sebarang kenyataan. 

"Perkara ini masih dibawah urusan pihak peguam, belum diserahkan lagi kepada mahkamah kerana kami masih belum sah bercerai di Mahkamah Sepang. Urusan masih berjalan untuk pengesahan perceraian. 

"Nubhan kata dia tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Saya nak sahkan perkara itu (tuntutan RM5 juta) betul atau tidak biarlah saya rahsiakan sehingga waktu yang boleh diberitahu," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua Nubhan didakwa tuntut RM5 juta jika mahu bercerai, siap ‘spill the tea’ kena bahagi harta sama rata

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua Nubhan tampil bersuara, nafi tuntut RM5 juta daripada menantu... Bakal ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah

Jelas Dr Afifah, sebarang kenyataan tidak tepat berkaitan tuntutan tersebut boleh dianggap sebagai fitnah kerana kes itu belum pun diterima oleh mana-mana pihak berkuasa.

"Mana-mana kenyataan yang dibuat berkenaan tuntutan RM5 juta itu boleh menjadi unsur fitnah kepada saya dan keluarga sebab kes belum diterima oleh mana-mana pihak, kecuali saya dan Nubhan yang akan menuntut nanti. 

"Harta sepencarian pun belum boleh dimohon di mana-mana mahkamah sebab kami belum sah bercerai," katanya. 

Pada Isnin, ibu mentua Nubhan iaitu Zailah Zainudin menegaskan dia tidak pernah menuntut RM5 juta sekiranya anaknya diceraikan. 

Dr Afifah (kanan) tidak mahu orang luar mencampuri urusannya dengan Nubhan.

Kata Zailah, dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan mencemarkan nama baik keluarganya. 

Sebelum ini, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya serta memfailkan pengesahan lafaz talak.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang kemudian menetapkan 2 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi itu ke atas Dr. Afifah atau Dr. Fie.

Namun, ketika kes di mahkamah masih berjalan, timbul pula dakwaan kononnya ibu kepada Dr. Afiyah menuntut RM5 juta sekiranya anaknya diceraikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain