PENYANYI Adira Suhaimi berkesempatan hadir ke pengebumian ibu kepada rakan selebriti, Hafiz Suip iaitu Allahyarham Halizawati Salleh, 60, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya, Sarawak pada pagi Selasa.
Adira atau Siti Adira Suhaimi, 34, berkata, dia kebetulan berada di Kuching ketika itu bagi memenuhi undangan persembahan.
“Hubungan saya dengan keluarga Hafiz memang rapat sejak dulu lagi. Saya tahu tentang pemergian arwah pun daripada ahli keluarganya.

Adira dan Hafiz sudah lama berkawan baik.
"Saya bersyukur dapat hadir ke pengebumian arwah kerana kebetulan saya berada di Kuching untuk memenuhi undangan persembahan,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Menurut Adira, dia tidak menyangka arwah pergi secepat itu memandangkan mereka baru sahaja bertemu pada konsert sulung Hafiz yang berlangsung di Mega Star Arena, Bukit Bintang pada 1 November lalu.
Adira berkata, dia tidak sempat bertemu Hafiz sewaktu ziarah pengebumian ibunya kerana memahami penyanyi itu memerlukan masa untuk bertenang selepas kehilangan insan tersayang.
ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip imamkan solat jenazah ibu, Ajai terbang ke Sarawak beri penghormatan terakhir
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Hafiz Suip meninggal dunia
“Saya memang tak sangka sebab baru saja jumpa arwah masa konsert Hafiz baru-baru ini. Tapi masa saya sampai, jenazah dah selamat dikebumikan.
"Secara jujur saya tak sempat jumpa Hafiz, cuma dapat berborak dengan ahli keluarga dia saja. Iyalah, dia baru kehilangan ibu... jadi saya cuma kirim salam takziah buat dia,” jelasnya.
Sebagai rakan baik, Adira sentiasa mendoakan agar Hafiz kembali bangkit dengan lebih kuat dan tidak pernah putus semangat untuk kekal dalam industri muzik tanah air.
“Saya yakin Hafiz akan teruskan karier dia seperti biasa sebab dia memang sangat cintakan dunia muzik.

Hafiz ketika bersama bapa dan arwah ibunya sewaktu konsert sulungnya pada 1 November lalu.
"Kalau dia berhenti memang rugi, sebab suara dia unik dan orang boleh dapat tangkap.
"Saya selalu doa agar dia ‘comeback stronger’ dan selalu pesan supaya jangan berhenti berkarya,” ujarnya.
Untuk rekod, Allahyarham Halizawati Salleh menghembuskan nafas terakhir pada malam Isnin selepas beberapa hari dirawat di Hospital Umum Kuching akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


