suria

Eja syukur menang kes, 'beri amaran' kepada Gulatis

Eja bersama anaknya, Nur Eishal
Eja bersama anaknya, Nur Eishal
Eja bersama anaknya, Nur Eishal

SEJAK Eja memohon kes saman ganti ruginya di mahkamah terhadap Gulatis Exclusive Sdn Bhd pada empat tahun lalu, pelakon, pengacara dan model ini sudah yakin dia berada di pihak yang benar.

Namun tidak bermakna ibu kepada Nur Eishal Mohd Saifuddin, 3 bulan, ini sewenang-wenangnya menyaman syarikat tekstil itu kerana wang ringgit semata-mata sebaliknya mahu mengembalikan maruahnya yang telah dipersendakan itu.

Jika ditanya kepada Eja, memanglah dia bersyukur dengan kemenangannya yang 'berbaloi-baloi' dalam kes itu.

Pelakon drama 'Salam Taj Mahal', 'Rahsia Demi Rahsia', dan 'Wadi Unung' itu bukan sahaja menerima RM20,000, faedah lapan peratus setahun dari tarikh penghakiman semalam sehingga penyelesaian penuh malah kos mahkamahnya turut ditanggung oleh Gulatis.

Namun yang lebih besar pengertian kepada Eja apabila dia mampu 'mengajar' Gulatis agar tidak mudah mengambil kesempatan terhadap artis lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana setelah empat tahun menunggu, kes ini berpihak kepada saya dan selesai pada hari ini.

"Kalah atau menang itu, belakang cerita..tetapi yang penting maruah saya sudah dikembalikan.

"Saya berharap pihak Gulatis tidak akan mengambil kesempatan terhadap artis lain lagi selepas ini," luahnya ketika dihubungi.

Eja tidak menghadiri perbicaraan kes itu semalam kerana mempunyai komitmen untuk menjaga Nur Eishal yang masih kecil.

Dia yang sebelum ini lebih banyak mengunci mulut berhubung kes itu turut menafikan yang dirinya mengambil keputusan untuk menyaman Gulatis kerana mahu meraih publisiti.

"Kalau saya nak publisiti, saya akan datang ke mahkamah hari ini (semalam)..Saya sangat bersyukur apabila kes ini sudah selesai..bayangkan kes ini berlangsung memakan masa saya mengandung sehingga bersalin.

"Semalam, memang saya terlebih awal tahu yang saya akan menang tetapi saya tak hadir sebab ada anak kecil," jelasnya lagi.

Menurut Eja, pada mulanya dia hanya menolong rakannya, pereka fesyen 'in house' di Gulatis. Jadi, disebabkan itu dia hanya membuat perjanjian lisan setelah Gulatis menawarkan kain berjumlah RM1,500.

Eja hanya bersetuju membenarkan gambarnya bersaiz kecil dipamer pada borang peraduan "Guess Who and Win" anjuran syarikat itu semasa perayaan Hari Raya 2005.

Bagaimanapun gambarnya telah dibesarkan dan digunakan pada poster, banner dan brosur yang dipamerkan di jalan-jalan raya di Malaysia serta siaran televisyen tanpa persetujuan beliau. Bukan itu sahaja, Eja juga dimaklumkan tidak mendapat satu sen pun hasil daripada promosi selepas itu.

Tindakan syarikat itu yang telah meluaskan penggunaan gambarnya 'sebesar bangunan Gulatis' juga telah menjejaskan sumber pendapatannya.

Ini kerana katanya, agensi lain menganggap beliau sebagai duta Gulatis dan dengan itu tidak menawarkan beliau apa-apa kerja.

Setelah hal ini berlaku, Eja berkata dia bagaikan serik untuk bekerjasama dengan Gulatis lagi dan akan lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja pada masa akan datang.

"Saya sukar untuk percaya kepada sesiapa lagi selepas ini...walaupun dibayar dengan harga RM1,000. Lain kali, saya mahukan perjanjian secara hitam putih.

"Sebelum ini memang saya mengamalkan sikap berhati-hati tetapi selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

"Sejak kes itu, saya dan keluarga juga tidak pernah membeli-belah di Gulatis lagi kerana buat apa saya nak sokong orang yang menipu?... kalau dulu kami ada juga membeli kain ketika musim perayaan," beritahunya yang turut pernah bergelar duta iklan biskut Julies di samping aktor Rosyam Nor suatu ketika dahulu.

Artikel Sebelum

Zahnita Saman Gulatis RM2 Juta

Artikel Berikut

Artikel Lain