suria

Aditya: Keinsafan-Ada mereka kisah?

HAMPIR sebulan bumi mengamuk dengan dahsyatnya. Ribuan nyawa terkorban di beberapa ceruk negara. Bencana alam yang meninggalkan sejuta kesedihan baik yang malang mahupun yang memerhatikan.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya namun yang melihat turut merasai kepedihan itu. Di Malaysia sendiri, goncangan bumi itu turut sampai di sini. Panik seketika walau sekadar gegaran riak di muka air.

Ramai yang melihat dari mata kasar, secara lahiriah sahaja. Kurang manusia yang memandangnya dari kaca mata yang berbeza, perspektif yang lebih jauh di sebalik kejadian alam itu. Bukan sekadar dugaan Tuhan malah Dia memberikan kita peringatan dalam kita meniti kelangsungan hidup seharian.

Kalau tanya anak-anak seni pun, ramai yang kasihan dengan mangsa. Tidak kurang yang ringan tangan menghulurkan bantuan terutama wang ringgit kepada badan-badan yang menganjurkan kutipan derma kilat untuk mangsa bencana alam.

Amukan bumi itu sebagai petanda dunia kita yang semakin tua ini semakin sakit dek perlakuan manusia.

Seharusnya timbul keinsafan di kalangan kita dan dalam konteks tulisan ini, Aditya tidak terlepas daripada memfokuskan skop yang melibatkan anak-anak seni tempatan.

Pedulikan Beyonce Knowles yang tidak jadi untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2009 walaupun ramai yang meratap kecewa. Juga kita boleh lihat itu sebagai ada hikmahNya.

Bagaimanapun anak-anak seni kita baik dari lorong muzik, filem mahupun televisyen, usah terus hanyut dalam kehidupan glamor yang menjanjikan keindahan putih dan hitamnya. Banyak sudah kita lihat dan dengar amaran dari Allah tentang apa saja yang boleh kita jadikan teladan serta sempadan hidup.

Keindahan seni kita lebih diwarnai kisah gelap para pengamal seni itu sendiri. Usah memandang kepada sisi peribadi artis itu semata-mata, malah mereka yang bukan seni pun begitu beriya-iya ingin membantu memartabatkan dunia seni sebenarnya bukan boleh dipercayai. Membantu orang lain atau menggemukkan poket duit sendiri? Manusia yang gila kuasa, ada kecenderungan mewarnakan keputihan seni dengan warna-warna kegelapan. Kebanyakannya suka menangguk di air keruh.

Biarpun seperti yang Aditya bentangkan di atas (tentang keinsafan daripada amaran Tuhan), pentas seni kita masih gila dengan perlakuan yang mendapat tepukan standing ovation daripada syaitan.

Pakaian artis kita, usah cakaplah. Sesedap rasa untuk dipakai, itupun nasib baik ada panduan oleh Kementerian Dalam Negeri yang mengawal selia penerbitan media cetak di negara kita supaya tidak keterlaluan dan menepati tatasusila masyarakat Timur.

Namun Aditya tidak mahu memanjangkan komen mengenai pakaian itu di sini, mungkin lain kali. Lebih penting di sini perlakuan artis itu sendiri serta pengamal lain termasuk krew di belakang tabir.

Selang dua tiga hari, ada saja artikel yang dipaparkan dalam akhbar yang masih mengaitkan bencana alam itu dengan amaran dari Tuhan. Ada benarnya bagi mereka yang melihat daripada perspektif positif dan kaca mata yang lebih tajam.

Kebetulan-kebetulan masa berlakunya bencana alam baru-baru ini tersebut dibentangkan dengan berkaitan firman-firman Allah dalam kitab suci Islam – al-Quran.

Di sini Aditya memetik daripada beberapa laporan akhbar mengenai kebetulan itu: Catatan masa kejadian gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).

Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: "Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: "Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz)."

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: "(keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya."

Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka.

Apakah ini kebetulan atau Maha Pencipta sudah memberi isyarat kepada makhlukNya akan dunia hamper tiba kepada penghujungnya?

Anak seni kita masih seperti biasa, diulit glamor yang membuatkan mereka alpa akan tanggungjawab sebenar orang seni dan keterbatasan sebagai manusia terutama yang mengakuinya Islam atau sekurang-kurangnya pada MyKad mereka tercatat beragama Islam.

Terlanjur hingga hamil bagaikan sudah biasa di kalangan mereka. Tidak rock kalau masih dara, masih tidak merasai kedewasaan melalui hubungan haram. Baik di antara artis sesama artis, sesama krew atau artis dengan masyarakat bukan artis. Tidak baik Aditya menuduh bukan? Aditya tidak akan berani menulis di sini kalau ia tidak benar-benar terjadi.

Rakan-rakan media sebenarnya banyak menyorok rahsia artis, tidak mahu mereka terlalu diaibkan.

Terlalu banyak kalau mahu diceritakan keburukan dan kebusukan yang berlaku di persada seni yang sengaja dicemari anak seni sendiri. Tidak salah kalau masyarakat terus memandang golongan ini sebagai pentas maksiat kerana sebenarnya tidak ramai anak seni tulen yang berpencak di atas pentas tersebut. Ramai sekadar mencuba malah lebih ramai yang menggunakan elemen fizikal kecantikan sebagai pasport untuk mereka memasuki gelanggang hiburan. Malangnya, mereka inilah yang mencemari industri keseluruhan. Kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, semuanya terpalit satu kandang.

Ada mereka kisah? Perlukah mereka kisah sebab semua itu bagaikan sebuah tradisi dalam arena ini. Terima sajalah sampai bila-bila kerana tiada siapapun yang peduli. Agensi kerajaan berkaitan seni hiburan mahupun individu yang terlibat dalam persatuan yang kononnya menjaga kebajikan artis, hanya lebih senang menjaga buntut masing-masing.

Warna-warna hiburan kita terus gelap dan kelam. Setidak-tidaknya warna kelabu tahi anjing! Keinsafan jarang kita dengar daripada mereka! Ada mereka kisah?

Artikel Lain