suria

Raja Lawak: Mat, Syem kecewa tersingkir awal

Mat dan Syem menjadi mangsa penyingkiran pertama Raja Lawak musim ketiga
Mat dan Syem menjadi mangsa penyingkiran pertama Raja Lawak musim ketiga
Mat dan Syem menjadi mangsa penyingkiran pertama Raja Lawak musim ketiga

IMPIAN untuk terus beraksi di pentas Raja Lawak musim ketiga berkecai buat dua peserta ini; Shamsir Mohd Shahar atau Syem dan Ahmad Faizlam Alam (Mat) apabila mereka menerima undian SMS paling rendah berbanding 10 peserta lain pada Gelanggang Raja Lawak minggu kedua yang berlangsung Jumaat lalu.

Riak kecewa jelas terpancar di wajah dua peserta ini saat diumumkan tersingkir oleh dua pengacaranya, Zizan dan Johan. Namun begitu, Mat dan Syem akur dengan keputusan undian yang tidak memihak kepada mereka.

Ditemui sejurus berakhirnya program itu, Mat akui dirinya sudah menjangkakan akan tersingkir pada minggu ini setelah dia turut berada di tiga kedudukan terbawah pada minggu lalu.

Kritikan yang diberikan oleh tiga juri tetap iaitu Zaibo, Fauziah Nawi dan Shamsul Ghau Ghau terhadap persembahannya yang dilihat agak 'kelam-kabut' juga menguatkan lagi kata hatinya bahawa dia mungkin tersingkir.

"Sejujurnya, saya memang sudah menjangkakan penyingkiran ini. Walaupun saya mendapat pujian daripada juri pun, saya tetap rasakan memang saya yang akan tersingkir kerana saya sedar saya tidak mempunyai pengundi.

"Namun begitu, saya sudah lakukan persembahan sebaik mungkin. Memang tidak dinafikan, tema 'azam baru' pada kali ini cukup mencabar buat saya. Malah, di saat-saat akhir saja juga ada membuat sedikit pertukaran pada persembahan saya.

"Memang kecewa kerana perjalanan saya di dalam program ini masih awal. Apatah lagi ini adalah percubaan kedua saya selepas gagal menjadi finalis Raja Lawak musim kedua yang lalu," kata Mat yang akan kembali bertugas sebagai juruteknik di Hyatt, Kuantan.

Jika Mat seolah-olah sudah menyangka dirinya akan tersingkir, berbeza pula dengan jangkaan Syem yang cukup terkejut apabila dia menjadi mangsa penyingkiran pada minggu ini.

Komen positif yang diberikan oleh pihak juri sama sekali gagal mencuri perhatian penonton untuk terus mengundi Syem agar dapat mara ke peringkat seterusnya.

"Saya memang benar-benar tidak sangka perjuangan saya berakhir di sini. Saya sentiasa tanamkan dalam hati untuk buat yang terbaik. Malah, saya cukup gembira bila melihat penonton turut terhibur dengan persembahan saya.

"Mungkin juga tidak semua penonton boleh terima lawak yang saya sampaikan. Apapun, saya berharap perjalanan saya di dalam bidang ini tidak berakhir terus," kata Syem yang merupakan seorang pelukis.

Menurut peserta berusia 32 tahun ini, dia berharap selepas ini peluang masih terbuka buat dirinya mencuba nasib di dalam bidang ini termasuklah tawaran berlakon dari mana-mana pihak serta peluang melakukan 'voice-over', memandangkan Syem mempunyai kebolehan untuk membuat lebih kurang 50 jenis suara.

Dengan penyingkiran Mat dan Syem, 10 peserta yang masih kekal di dalam Raja Lawak musim ini ialah Adam Abdul Karim Zamri (Adam), Aman Shah Asri (Am), Mohammad Amirullah Azmi (Amir), kumpulan Chot yang dianggotai oleh Hazmeer Hassan (Amer) dan Muhd Shaiful Bakri (Epul), LNJ yang dianggotai oleh Afzan Saffuan Ahmad dan Wan Sharizon Rahim, Sepah dianggotai Shamira Muhamad, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad, Ahmad Faidz Ahmad Yusoff (Talam), Rafizzan Yaacob (Yan), Sutarmin Tukichan (Manbelon) dan Nuur Jihan Musa (Jihan).

Kelemahan dari segi 'content

Minggu kedua yang berlangsung dengan tema 'azam baru' ini sememangnya cukup mencabar buat peserta-peserta ini.

Tidak dinafikan, ada yang berjaya mempamerkan kreativiti tersendiri dan tidak kurang juga yang dilihat gagal menyelitkan kandungan atau 'content' yang bersesuaian dengan tema minggu itu.

Persembahan menarik dapat disaksikan daripada kumpulan Sepah, Am, Yann, Chot, Amir dan kumpulan LNJ. Tidak ketinggalan persembahan daripada Jihan dan begitu juga dengan Syem yang mempamerkan kreativiti tersendiri walaupun nasib tidak menyebelahinya dan tersingkir di penghujung program tersebut.

Cuma kelemahan dari segi kandungan dapat disaksikan menerusi persembahan Manbelon, Talam, Mat dan Adam.

Tidak dinafikan, mereka berjaya menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi ketika di pentas, seperti yang dikatakan oleh juri, tetapi ia sedikit terjejas apabila 'content' berdasarkan tema minggu ini kurang 'menjadi' di dalam persembahan mereka itu.

Secara peribadi, kesemua peserta dilihat masih mempunyai ruang untuk menonjolkan bakat masing-masing apatah lagi bila melihat prestasi yang ditunjukkan oleh peserta-peserta Raja Lawak kali ini lebih 'baik' berbanding musim-musim terdahulu.

Namun begitu, Amir nampaknya dilihat menjadi peserta 'favorite' ketika ini. Malah, dia turut berada di tangga teratas kedudukan peserta setakat ini.

Apapun, sama ada Amir berpotensi untuk menjulang gelaran Raja Lawak musim ketiga ini, semuanya masih terlalu awal untuk diramalkan.

Artikel Lain