suria

Malu dipandang hina, bapa tembak mati anak perempuan

Masalah kekeluargaan boleh berakhir tragedi jika tidak diselesaikan dengan baik. -Gambar hiasan

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan.

Itulah sikap yang boleh digambarkan apabila seorang wanita muda ditembak mati oleh bapa kandungnya yang menjanjikan perdamaian selepas dia didakwa mencemarkan maruah keluarga.

Kejadian tragis itu berlaku di sebuah ladang sawit di kampung Khiria Thapak, di Madhya Pradesh, India pada Selasa.

Berdasarkan laporan, mangsa, Nidhi Dhanuk, 21, dipercayai ditembak di bahagian dada menggunakan pistol buatan sendiri, menyebabkan dia maut di lokasi kejadian.

Menurut polis, mangsa mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Devu Dhanuk pada 11 Disember lalu.

Namun, pada 28 Disember, wanita itu dilaporkan hilang ketika keluar membeli belah bersama suaminya di Gwalior selepas meminta lelaki itu pergi mengambil air.

Kehilangannya mencetuskan kebimbangan kedua-dua keluarga sebelum siasatan mendapati mangsa menghubungi bapanya, Munnesh Dhanuk, dari lokasi tidak diketahui pada Selasa.

Munnesh kemudian memujuk mangsa supaya pulang ke kampung dengan memberi jaminan bahawa segala masalah akan diselesaikan secara baik.

Namun, sebaik tiba di kampung, Nidhi tidak pulang ke rumah, sebaliknya dibawa ke kawasan pinggir kampung dan ditembak mati di ladang sawi.

Mayat Nidhi ditemukan keesokan pagi selepas ibunya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Suspek ditahan tidak lama kemudian dan mengaku melakukan pembunuhan kerana takut dipandang hina oleh masyarakat.

"Saya bunuh dia kerana terlalu banyak perkara yang memalukan keluarga," katanya dalam soal siasat.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 103 Kanun Keseksaan India (pembunuhan) serta sedang mengesan senjata api yang digunakan.

Dalam pada itu, penduduk kampung mendakwa Nidhi mempunyai hubungan dengan seorang saudara jauh dari kampung yang sama, sekali gus mencetuskan konflik besar dalam keluarga dan dipercayai menjadi motif kejadian. -Agensi

Artikel Lain