suria

Lelaki 50-an maut akibat keracunan plumbum, doktor dedah punca gara-gara guna botol termos rosak selama 20 tahun

Penggunaan botol termos yang rosak untuk menyimpan minuman panas dalam tempoh lama boleh menyebabkan logam berbahaya larut ke dalam minuman. -Gambar hiasan Ai

SEORANG lelaki berusia lingkungan 50-an meninggal dunia akibat keracunan plumbum selepas meminum kopi panas daripada botol termos yang lapisan dalamnya telah berkarat dan rosak selama hampir 20 tahun.

Kes itu didedahkan oleh seorang pakar buah pinggang dalam sebuah program televisyen, yang menjelaskan bagaimana keadaan kesihatan lelaki berkenaan merosot secara berperingkat sebelum membawa kepada kematian.

Menurut laporan, masalah kesihatannya mula dikesan apabila dia mengalami kekeliruan ketika memandu ke tempat kerja sehingga terbabas dan melanggar sebuah kedai makan, walaupun mempunyai lebih 30 tahun pengalaman memandu.

Pemeriksaan di hospital selepas kemalangan itu mendapati lelaki itu tidak mengalami kecederaan luaran yang serius, namun ujian lanjut menunjukkan dia mengalami anemia teruk serta fungsi buah pinggang yang tidak normal.

Dia kemudiannya dirujuk ke Jabatan Nefrologi untuk rawatan lanjut.

Menurut doktor, lelaki itu juga sering mengadu keletihan melampau selain mengalami perubahan deria rasa.

Keadaan kesihatannya terus merosot dan dia mula menunjukkan simptom kemerosotan kognitif yang menyerupai penyakit demensia.

Menurut laporan media, lelaki itu telah menggunakan botol termos yang sama untuk menyimpan dan meminum minuman panas sejak lebih sedekad lalu, walaupun menyedari lapisan dalamannya telah berkarat.

Kira-kira setahun selepas kemalangan kereta itu, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia akibat komplikasi keracunan plumbum.

Susulan kes itu, pakar perubatan memberi amaran bahawa penggunaan botol termos yang rosak atau diperbuat daripada bahan berkualiti rendah untuk menyimpan minuman panas dalam tempoh lama boleh menyebabkan logam berbahaya larut ke dalam minuman. -Agensi 

 

Artikel Lain