suria

Cico dapat anak perempuan

Cico sudah bergelar bapa, sejak dua minggu lalu.
 Cico sudah bergelar bapa, sejak dua minggu lalu.
Cico sudah bergelar bapa, sejak dua minggu lalu.

TAHNIAH diucapkan kepada pelakon Cico Harahap, 31, yang kini sudah bergelar bapa setelah isterinya, Elle atau nama Islamnya, Nur Fuziani Abdullah, 26, telah melahirkan seorang bayi perempuan pada 24 Disember lalu di Hospital Ampang.

Ketika temubual dibuat, kata Cico, dia masih menyesuaikan diri dengan anaknya sepanjang 15 hari bergelar bapa.

Cico dan Elle, wanita berketurunan Thailand telah bernikah pada 25 Februari tahun lepas di Songkhla, Thailand.

Bagaimanapun berita perkahwinan mereka sengaja dirahsiakan oleh Cico atas alasan tersendiri sehingga dia membuat pengakuan kepada pihak media ketika ditemui dalam satu pementasan teater monolog Cinta Julia sekitar Disember lalu.

Waktu itu Cico hadir bersama isteri, anak-anak saudara serta ibunya, seniwati Uji Rashid.

Buat masa ini, Cico tidak mendedahkan 100 peratus tentang kelahiran bayinya termasuk nama puteri sulungnya itu sehingga dia mengadakan satu majlis kenduri doa selamat selepas isterinya selesai berpantang.

“Insya-Allah, saya akan beritahu semuanya kelak semasa majlis kenduri doa selamat yang akan diadakan dalam masa dua minggu selepas isteri saya berpantang.

“Setakat ini, saya sedang mengumpul alamat para tetamu termasuk pihak media yang akan diundang ke majlis tersebut yang juga diadakan bersempena majlis perkahwinan kami.

“Kalau boleh saya nak buat majlis itu di rumah baru kami kerana kami sudah tidak tinggal di Bukit Antarabangsa lagi selepas kejadian tanah runtuh baru-baru ini.

“Sekarang, buat sementara waktu kami tinggal di rumah sepupu saya.

“Dalam masa yang sama, saya juga sedang mencari rumah sewa. Kalau boleh saya nak rumah baru itu terletak betul-betul di kawasan Ampang,” ujar Cico yang juga sedang bersedia untuk berlakon filem Tiga Jalan arahan Aziz M. Osman.

Filem Tiga Jalan merupakan filem arahan tiga pengarah termasuk Afdlin Shauki dan Mamat Khalid.

Jawab isu gambar mencurigakan di internet

Selain berita gembira itu, Cico turut tenang menjelaskan tentang gambarnya berpelukan bersama wanita lain yang tersebar di internet.

Menurut Cico, gambar itu dirakamkan pada hujung tahun lalu ketika mereka menghadiri sebuah parti sempena Krismas.

“Gambar itu memang sengaja diambil. Gambar itu dirakam selepas tersebar gambar saya bersama seorang wanita yang mengaku ‘girlfriend’ saya di Facebook. Tiba-tiba keluar pengakuan kononnya kami dah kenal lebih kurang setahun dan keluar seperti pasangan-pasangan kekasih lain.

“Wanita dalam gambar terbaru itu merupakan adik kawan baik saya. Bukannya satu gambar sahaja yang saya suka-suka peluk perempuan. Gambar itu diambil bersama adik kawan baik dan sepupu saya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengan wanita itu. Dia juga tahu yang kami tidak mempunyai apa-apa hubungan termasuk ibu saya.

“Itupun, sepupu saya masih tak serik-serik nak ambil gambar berpelukan lagi,” kata Cico.

Apabila ditanya tentang perasaannya setelah mendapat tahu gambar tersebut telah tersebar di internet dan ramai pihak mengutuk tindakannya memandangkan dia sudah beristeri, Cico berkata:

“Saya tak rasa apa-apa sebab dah tahu orang akan bercakap dan mengambil tahu tentang gambar itu. Lagipun, saya rasa mesti tak terkira gambar lelaki yang peluk kawan-kawan dan sepupunya di luar sana. Tetapi tak semuanya dijadikan cerita. Sebaliknya ia menjadi sesuatu yang besar apabila saya yang membuatnya.

“Lepas ni tak tahu pula apa lagi mereka akan kata sebab baru-baru ini saya ada bergambar dengan seorang lagi saudara saya.

“Dia bergambar dengan saya sambil duduk di atas riba saya. Kalau orang nak bercakap lagi tak tahulah...Ini siapa yang tak tahu agama dan songsang sekarang?”.

Ada dakwaan mengatakan gambar itu dirakam dalam keadaan Cico yang mabuk.

“Saya bukan nak mengiyakan atau menidakkan, namun saya nak bertanya semula apa yang mereka rasa dan adakah kehidupan mereka terganggu? Sama ada saya baik atau tidak, saya sendiri yang akan tanggung kelak dan hanya Tuhan sahaja yang tahu,” jawab Cico mengakhiri perbualan itu.

Jelas Cico, ini bukanlah pertama kali dia dituduh melakukan perkara tidak baik kerana sebelum ini dia juga pernah dituduh mengambil dadah.

Namun, selepas melakukan pemeriksaan doktor, terbukti dia tidak terlibat dengan dadah.

Artikel Sebelum

Rem tunggu masa buat 'comeback'

Artikel Lain