Pembeli emas disaran bertanya lebih lanjut berkaitan cangkuk lobster kepada penjual. -Gambar hiasan AI
BAGI mereka yang merancang untuk membeli emas, satu perkara asas yang perlu diketahui adalah mengelak daripada rekaan cangkuk lobster.Ini kerana kebanyakan cangkuk lobster mengandungi spring besi di dalamnya, yang boleh menjejaskan nilai sebenar emas anda. Menurut peminat emas, ramai pembeli secara tidak sedar membayar harga emas 916 termasuk berat spring besi, sedangkan besi itu bukan emas.Apabila emas tersebut dijual semula di kedai emas atau cawangan lain, spring besi biasanya akan dibuka dan ditolak daripada berat emas sebenar, mengakibatkan sedikit kerugian kepada pembeli.“Walaupun berat besi hanya sekitar 0.01 hingga 0.02 gram, jika harga emas 916 ialah RM600 per gram, nilai besi ini hanya RM6 hingga RM12."Walaupun jumlahnya kecil, ia tetap rugi kerana pembeli membayar harga emas penuh untuk spring besi yang bukan emas,” kongsinya.Bagi mereka yang membeli emas untuk tujuan pelaburan, perkara ini sangat penting kerana ia memastikan harga yang dibayar selari dengan berat emas sebenar 916.Sebaliknya, bagi pembeli yang membeli emas semata-mata untuk hiasan dan kegunaan peribadi, penggunaan cangkuk lobster masih boleh diterima, namun perlu sedar tentang isu berat dan nilai ini."Kebiasaannya jika emas dijual, spring besi akan dikeluarkan dan emas ditimbang semula sebelum transaksi, bagi memastikan pelanggan hanya membayar harga emas sebenar," katanya.Dia turut menyarankan sebelum membeli, semak terlebih dahulu rekaan cangkuk dan fahami bahan yang digunakan."Bagi pembeli bijak, elakkan membayar untuk besi atau magnet dalam emas 916, supaya pelaburan anda lebih menguntungkan dan nilai emas terjaga untuk jangka masa panjang," katanya.