suria

Sembilan tahun hidup berpoligami, lelaki ini bentang sikap buruk isteri pertama... Pantang ditegur, langsung tak hormat suami!

Seseorang suami yang berpoligami perlu bersikap adil terhadap isteri-isterinya. -Gambar hiasan AI

KEPUTUSAN berkahwin kali kedua bukan dibuat atas dasar nafsu semata-mata, sebaliknya lahir daripada keletihan emosi yang dipendam bertahun-tahun dalam perkahwinan pertama.

Demikian luahan seorang lelaki yang berkongsi pandangannya mengenai perbezaan ketara yang dirasai antara isteri pertama dan keduanya.

Bercerita lanjut berdasarkan pengalaman peribadi, lelaki itu berkata pertengkaran kerap berlaku setiap kali dia menegur atau memberi pandangan kepada isteri pertama. 

Islam membenarkan lelaki untuk berpoligami, bagi yang berkemampuan. -Gambar hiasan

"Saya sering bertengkar dengan isteri pertama, namun tidak pernah dengan isteri kedua. Tempoh perkahwinan saya bersama isteri pertama adalah 22 tahun, manakala isteri kedua sembilan tahun.

"Kedua-duanya berbeza kerana setiap teguran saya berikan sering dibantah isteri pertama, sedangkan isteri kedua menerima dengan baik. Jika saya melakukan kesilapan, isteri pertama menegur dengan nada tinggi," ceritanya.

Jelas lelaki yang tidak mendedahkan identitinya itu, isteri keduanya lebih pandai mengambil hati khususnya dalam soal menjaga adab terhadap suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa didik anak lelaki cari isteri sanggup berpoligami, tak tayang diri di media sosial - “Pilih yang kuat dan reda”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sedia bermadu, tak suka rutin 'melekat' di rumah manjakan suami! Lebih gemar 'travel', habiskan masa dengan anak-anak

"Isteri kedua masih menjaga rasa hormat terhadap saya walaupun berdepan ujian dan tekanan. Sebaliknya, isteri pertama gagal mengekalkan perkara tersebut.

"Sebab itulah saya berpendapat, apabila seseorang isteri itu bergaduh dengan suaminya, ia mencerminkan hilangnya rasa hormat dalam perkahwinan," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, perkongsian lelaki ini mendapat kecaman ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan pendapat dikongsikan.

  • Kerap bertengkar dalam rumah tangga pertama jadi punca dia berkahwin lagi.
  • Tegurannya sering dibantah oleh isteri pertama.
  • Isteri kedua menerima nasihat dengan baik dan lembut.
  • Perbezaan itu berpunca daripada rasa hormat.
  • Baginya, gaduh tanda hormat semakin hilang.

"Isteri pertama dah menyampah dengan awak tu. Banyak benda dia pendam dan tak puas hati jadi ini masa dia balas balik. Dia masih tunggu awak pun bersebab.

"Sebelum berkahwin dengan isteri kedua, bini pertama macam tu juga ke? Kalau ya, sepatutnya tuan selam hati isteri tu. Kalau nak tengok isteri kedua pula jadi macam isteri pertama, cuba tambah (isteri) nombor tiga.

"Malu la sebagai suami sebab tak dapat selesaikan hal macam ni. Tak ada guna berkahwin dua kalau hal macam ni tak dapat nak diselesaikan dengan matang," demikian pandangan beberapa netizen di ruangan komen.

Peringatan

Suami merupakan ketua rumah tangga dan isteri adalah pengurusnya.

Dalam Islam suami diberikan kedudukan lebih tinggi berbanding isteri dengan satu kelebihan darjat oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud:

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).

“Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Justeru Allah SWT memerintahkan para isteri untuk mentaati suami dalam semua perkara baik menurut syarak.

Artikel Lain