suria

Sindiran ‘over value’ di Threads punca watak Acu angkat kaki dalam drama Keluarga Iskandar 3

Hiera akhirnya bersuara mengenai ketiadaanya.

PELAKON Hiera Hassan akhirnya tampil menjelaskan punca pengundurannya dalam musim ketiga drama popular, Keluarga Iskandar meskipun watak Acu yang dibawakan begitu digemari ramai. 

Hiera berkata, keputusan untuk menarik diri dibuat atas kerelaan sendiri tanpa sebarang paksaan selepas berlaku satu insiden yang membuatkan dirinya kecewa.

Menurutnya, isu tersebut bermula selepas dia berbincang soal kontrak dan bayaran dengan pihak penerbit.

Hiera muncul dengan watak Acu dalam Keluarga Iskandar.

“Pengunduran ini saya buat sendiri dengan rela hati. Kisahnya bermula apabila saya berurusan dengan pihak penerbit, selesai skrip reading dan berbincang tentang kontrak.

“Namun keesokan harinya, ada pihak memuat naik hantaran di Threads yang seolah-olah tidak berpuas hati dengan bayaran saya,” katanya dalam satu siaran langsung di TikTok.

Tambah Hiera, hantaran berkenaan mengandungi kata-kata berbaur sindiran dan bersifat menyinggung perasaan seperti mendakwa dirinya ‘over value’ serta tidak layak menerima bayaran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada istilah berhenti, Kismah Johar terus aktif berlakon... Tak mahu rasa terkilan selepas 10 tahun rehat

ARTIKEL BERKAITAN: “Nedim sentiasa ada tempat istimewa di hati” – Kebahagiaan bekas suami antara doa Nora Danish

Malah kenyataan itu membuatkan dia sedar kedudukan sebagai pelakon yang tidak begitu popular.

“Antara ayat yang digunakan seperti ‘jangan perasan’, ‘kita bukan berlakon di HBO’ dan ‘over value’. Walaupun tidak disebut nama, saya tahu ia ditujukan kepada saya.

“Saya tahu saya bukan pelakon terkenal, cuma dikenali sebagai Acu dalam Keluarga Iskandar. Saya hanya berlakon sikit-sikit dalam drama lain,” jelasnya.

Saya tak sedap hati dan rasa tak seronok untuk teruskan.

HIERA HASSAN

PELAKON

Apa yang lebih mengecewakan, katanya, isu tersebut sepatutnya bersifat perbincangan peribadi dan sulit antara dirinya dengan pihak penerbit.

Namun disebabkan hantaran tersebut ramai rakan artis memberi pelbagai reaksi sekali gus menjadi tular.

“Benda itu adalah perbincangan peribadi dan sulit, tetapi apabila ia jadi tular, saya rasa tidak profesional.

Siri Keluarga Iskandar kembali tanpa Hiera.

“Saya tak kisah orang lain nak komen atau back up. Cuma saya tak sedap hati dan rasa tak seronok untuk teruskan,” luahnya.

Sebaik sahaja pengunduran itu, artis-artis yang terlibat dalam siri berkenaan ada memujuknya namun dia tekad untuk mengundurkan diri kerana bimbang kehadirannya akan mengganggu suasana di set.

“Saya fikir kalau saya teruskan masuk set, mungkin akan mengganggu serba sedikit. Jadi saya ambil keputusan untuk mengundurkan diri dengan rela hati,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain