suria

Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job

Seorang penceramah berkongsi kisah yang dilaluinya sepanjang bulan Ramadan. -Gambar hiasan

SELAIN menahan lapar, dahaga, dan nafsu sepanjang hari, kita juga berdepan dengan pelbagai ujian serta dugaan lain di bulan Ramadan.

Mungkin dari luaran seseorang itu nampak ceria dan gembira namun nasib atau isi hatinya tak siapa yang tahu kerana setiap orang ujiannya berbeza-beza.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang usahawan berkongsi pengalamannya mendengar tazkirah yang bertajuk 'Nak dekat 10 malam terakhir, dimana hati kita?'.

"Nak habis, penceramah buka soalan untuk siapa nak tanya. Bangun seorang lelaki dan sambil memegang mikrofon, dia mengesatkan air mata. Macam sebak sungguh.

"Dia bertanya, 'Ustaz, maaf. Saya peniaga di bawah ofis ni. Jual biskut dan kuih muih. Jualan saya dari awal Ramadan sampai hari ni, terus terang teruk sangat. Jadi, saya dan isteri ambil keputusan kami nak tumpu ibadah sajalah'.

"Kadang lelaki bertanya ni terhenti kata-kata. Menyeka airmata," kata Muhammad Abu Hurairah menerusi hantarannya itu.

Ramai hadir untuk solat berjemaah. -Gambar hiasan

Abu Hurairah berkata, luahan jemaah itu ternyata membuatkan dia sebak, begitu juga para jemaah lain di surau.

Seorang lelaki bangun dan menenangkan dia sambil mengurut belakangnya sebelum menyambung cerita.

"Saya rasa kosong sangat Ramadan kali ni. Niaga tak laku. Saya dan isteri bergaduh saja. Anak-anak terbiar. Ustaz, sempat ke saya nak baiki semua ni sebelum Ramadan habis?

"Saya pandang ke ustaz penceramah. Dia buka cermin mata dan juga mengesat airmata. Allahu, ustaz pun menangis juga," ujarnya.

Menurut Abu Hurairah, penceramah itu menarik nafas cukup panjang sebelum menjawab pertanyaan jemaah itu dengan membuat pendedahan tidak disangka-sangka.

Penceramah itu berkata, 'Sebenarnya, bila abang kita tadi ni tanya soalan tu pada saya, saya sebak sebab dari awal Ramadan sampai lah ke hari ini, inilah jemputan pertama ceramah'.

Jemaah mendengar tazkirah yang disampaikan penceramah. -Gambar hiasan

Pengakuannya itu ternyata mengejutkan para jemaah sehingga satu surau tersenyap tiba-tiba.

"Ustaz sambung, 'Biasanya penuh jadual saya Ramadan ni. Sampai isteri saya risau dan tanya saya, kenapa tak ada jemputan? Sebab kerja saya ini sajalah. Saguhati dari ceramah itulah rezeki yang saya ada'.

Ustaz cerita, ada satu hari dia doa sambil menangis macam budak kecil. Anak-anak tengok pun pelik.

MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN

"Ustaz cerita, dari awal Ramadan dia usaha macam-macam sampailah dia rasa, mungkin Allah nak dia 'berehat' dari bekerja. Asyik ceramah sana sini tentang Ramadan, lalu Ramadan ni tak perlu cakap banyak. Buat saja. Isi Ramadan sepenuhnya.

"(Tambah ustaz) 'Bila abang cerita tu, tu saya nak menangis sama. Rasa kita sama. Lagi nak dekat raya kan bang? Persiapan semuanya. Allah'," kata Abu Hurairah mengimbas kembali luahan si penceramah.

Pengisian bulan Ramadan dengan membaca al-Quran. -Gambar hiasan

Ceritanya lagi, penceramah itu kemudian berkongsi pengalaman tentang apa yang dilakukannya tanpa henti sepanjang Ramadan ini.

"Ustaz ni buat beberapa perkara. Dia kejut isteri bangun tahajud. Sebelum ni dia bangun je terus ke masjid jadi imam qiamullail.

"Selepas mereka solat tahajud bersama, dia tolong isteri masak sahur. Makan sama-sama. Ustaz kata menangis masa makan sebab bertahun tak sahur dengan isteri. Ye la, sibuk ceramah.

"Habis tu mereka berdua ke masjid. Habis Subuh baca Al-Quran. Balik rumah dia tolong isteri siapkan anak-anak ke sekolah dan kemas rumah. Dah pukul 10-11 pagi, terus solat Dhuha," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun tak ibadat, bisnes kencang bazar Ramadan jatuh merudum! Suami isteri malu, baru sekali baca al-Quran Allah beri semula nikmat

ARTIKEL BERKAITAN: Berat ujian Ramadan, pemuda berhabis duit tanggung kos kanser bapa... Dunia rasa gelap tak mampu beli juadah berbuka

Mengulas lanjut, kata Abu Hurairah, penceramah itu rajin masuk ke dapur di sebelah petang untuk masak bersama isteri bagi menyiapkan juadah berbuka puasa.

Menjelang waktu berbuka, kira-kira lima minit sebelum azan Maghrib berkumandang, penceramah itu sekeluarga duduk bersama di meja makan.

"Ambil masa berkat berdoa sama-sama. Ustaz cerita, ada satu hari dia doa sambil menangis macam budak kecil. Anak-anak tengok pun pelik. Kenapa ayah mereka ni?

"Isterinya datang dan peluk dia. Cakap 'Abang sabarlah. Allah sayang abang ni. Allah sayang abang. Kami semua sayang ayah'," ujarnya lagi.

Kisah suami isteri mengundang sebak para jemaah. -Gambar hiasan

Di surau itu, penceramah itu kemudian bersuara: "Tuan-tuan, hari ini barulah untuk pertama kali dalam bulan Ramadan, saya dapat undangan beri tazkirah. Sedang isi ni, WhatsApp lain tengah masuk. Saya tengok jadual dari awal pagi, sampai malam raya jadual saya dah penuh dengan macam-macam program."

Mendengar kisah yang penuh syahdu itu, Abu Hurairah berpegang kata-kata ustaz berkenaan tentang Ramadan yang dilalui penceramah itu.

"Hidup, adalah tentang jalan. Ketika kita sulit, serahkanlah pada Allah. Jalanilah hari demi hari dan jika kita rasa sulit lagi, kembalilah kepada Allah.

"Jika semua pintu tertutup, Allah akan buka 100 pintu lagi. Seberat apa pun beban yang kita pikul, di jalan Allah semua beban akan terangkat.

"Yang penting, hiduplah dengan selalu kembali kepada Allah. Katakan kepada diri bahawa Allah selalu bersamaku. Peganglah itu," kata Abu Hurairah di Facebook mengenai pesanan penceramah berkenaan mengenai kemuliaan bulan Ramadan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain