suria

Berat ujian Ramadan, pemuda berhabis duit tanggung kos kanser bapa... Dunia rasa gelap tak mampu beli juadah berbuka

Seorang lelaki menjamah roti ketika berbuka puasa. -Gambar hiasan

DI saat orang ramai berpusu-pusu ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, ada insan yang tidak memperoleh kenikmatan itu.

Gara-gara kesempitan wang, mereka terpaksa berfikir panjang sama ada mahu terus mengikat perut atau mencatu makanan.

Bagi mereka yang berdepan situasi ini, bulan puasa bukan lagi sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi banyak perkara atau komitmen penting yang perlu difikirkan.

Orang ramai berpusu-pusu ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa. -Gambar hiasan

Begitulah rintihan seorang pemuda kerana kelaparan di bulan Ramadan sehingga meruntun jiwa.

“Hari ini aku buka puasa minum air dan roti dua keping. Dalam dompet cuma ada RM1, tak lepas untuk beli makanan.

“Rasa sedih sangat dan lapar,” katanya menerusi satu luahan di laman X.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas ‘bawa’ RM200,000 pergi bazar Ramadan, pemuda nampak baki ketika guna kod QR... Netizen harap lebih hati-hati

ARTIKEL BERKAITAN: Damai waktu sahur bertukar gempar, ular hitam berkilat masuk rumah... Makin cemas, ramai sangka hadir sepasang!

Diuji ketika kedatangan bulan Ramadan ini, pemuda itu terpaksa menempuh pelbagai cabaran hidup.

Lebih memilukan, bapanya yang disyaki menghidap penyakit kanser baru selesai menjalani pembedahan.

“Bulan ni mencabar untuk aku. Banyak duit aku guna pada minggu lepas untuk pembedahan dia.

“Doakan aku kuat,” katanya yang mengharapkan sokongan dan doa orang ramai.

Banyak wang dihabiskan untuk pembedahan bapa. -Gambar hiasan

Di ruangan ciapan balas, rata-rata netizen amat bersimpati dengan nasib pemuda itu dengan mendoakannya agar terus tabah menghadapi ujian berat, apatah lagi pada bulan puasa.

“Kuatkan semangat, ini apa yang saya rasa beberapa tahun lalu waktu ibu kena kanser. Serius rasa macam dunia gelap sekejap. Tapi sekarang semua dah okay. Kena tabah dan bersabar.

Zaman sekarang orang berbuka di masjid bukan sebab tak mampu, tapi nak suasana dan berkat.

NETIZEN

“Semoga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan dikeluarkan dari kesulitan. Semoga ayah tercinta dikurniakan kesembuhan.

“Allah tak uji jika awak tak kuat. Allah tahu awak kuat dan boleh,” demikian antara komen-komen netizen memberikan kata-kata semangat.

Pemuda tertekan dengan masalah yang dihadapi. -Gambar hiasan

Pada masa sama, segelintir netizen turut mencadangkan agar pemuda itu berbuka puasa di masjid kerana kebiasaannya pihak pengurusan akan menyediakannya secara percuma.

Aktiviti berbuka puasa secara percuma itu secara tidak langsung menggalakkan orang ramai mengimarahkan masjid dengan menyaksikan mereka turut hadir untuk solat berjemaah.

“Cubalah ke masjid-masjid berdekatan untuk berbuka puasa nanti. Harap semuanya baik-baik sahaja buat anda.

“Kalau tinggal di kawasan Petaling Jaya, masjid di sana sampai sahur ada sponsor. Sehari tiga kali makan, untuk berbuka, moreh dan sahur. Pergi je.

“Zaman sekarang orang berbuka kat masjid bukan sebab tak mampu. Tapi nak suasana dan berkat. Tak perlu malu nak berbuka sana,” ujar netizen lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain