suria

Dibuli sejak kecil, perkahwinan musnah! Wanita hanya sedar hidap tourette ketika usia 24 tahun selepas bakal suami sedar pergerakan pelik

Tia aktif dalam aplikasi TikTok bagi memaklumkan sindrom tourette yang dialaminya.

DIGELAR sawan dan cacat.

Demikian kata-kata yang sering dilemparkan kepada penghidap sindrom tourette di samping menjadi mangsa buli.

ARTIKEL BERKAITAN: Panik! Bayangkan tiba-tiba gagap, tersedu-sedu sampaikan tak dapat kawal maki hamun... remaja aktif TikTok kesal dituduh pura-pura sakit

ARTIKEL BERKAITAN: TikTok didakwa punca peningkatan kes gadis remaja alami Tics, kegelisahan dan kemurungan

Malah, dirinya pernah menjadi mangsa amarah dan pukul ibu bapa hanya kerana tidak dapat mengawal tabiat gerakan luar biasa yang sering terjadi.

Melalui pengalaman yang memeritkan itu, Nursyakina Mohd Shah yang kini berusia 25 tahun memberitahu, dia hanya menyedari menghidap penyakit tourette pada tahun lalu.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra dipanggil Tia berkata mula mengalami 'tic' iaitu gerakan atau suara tiba-tiba yang dilakukan secara berulang kali ketika berusia 8 tahun.

"Itu pun sepanjang hidup tanpa sedar yang Tia mengalami Tourette, jadi sepanjang hidup dari zaman kanak-kanak hingga ke remaja belajar seperti budak biasa dan tidak pernah mendapatkan sebarang pendidikan khas dari mana-mana sekolah.

"Sebab keluarga ingat tu hanya tabiat biasa... memang selalu kena marah dengan ibu dan abah sebab diaorang suruh berhenti buat tic tapi Tia tak boleh berhenti buat.

"Mereka pun tak pernah bawa Tia jumpa doktor atau terapi untuk tahu 'penyakit' sebab selalu berkelakuan macam tu," ujar anak sulung daripada empat adik beradik ini.

Tia mengalami tic yang dikenali sebagai coprolalia.

Tia mengalami tic yang dikenali sebagai coprolalia.

Keadaan lebih menyedihkan adalah ketika berada di sekolah.

Mana tidaknya, dia sering diejek dan dipulau rakan-rakan sekelas kerana 'tabiat' tersebut.

Malah ujar anak jati Negeri Sembilan itu, dia adalah mangsa buli di sekolah namun apa yang dialami hanya dipendam sendiri dan tidak pernah diadukan kepada keluarga.

"Tia tak pernah ada kawan baik sebab tic, waktu rehat akan sendirian dan dalam kelas pun tiada yang nak duduk sebelah kerana Tia dipulaukan.

"Mereka selalu ejek Tia sawan atau cacat. Apabila nampak Tia mereka akan gelak-gelak, kalau ada presentation memang tiada siapa yang nak satu kumpulan sampai pernah Tia disuruh masuk dalam satu kumpulan tu dan mereka cakap depan-depan 'tak mahu la dengan dia cikgu'.

Dibuli dan diejek sejak kecil membuatkan Tia lebih kuat menghadapai cabaran mendatang.

Dibuli dan diejek sejak kecil membuatkan Tia lebih kuat menghadapai cabaran mendatang.

"Jadi, apa yang dialami memang Tia pendam saja. Bersyukur sebab guru-guru baik cuma apabila mereka tegur, Tia hanya mampu berdiam diri kerana tidak tahu bagaimana nak jelaskan," luahnya sebak.

Dugaan dan ujian yang dilaluinya sebagai penghidap sindrom tourette membuatkan dia ingin berada jauh daripada keluarga dan sesiapa sahaja yang pernah mengejeknya.

Ekoran itu, dia memilih untuk mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya.

Bagaimanapun, perkahwinan yang dibina hanya bertahan selama lima tahun.

Tia beranikan diri bercerita kepada tunang, memang daripada kecil Tia buat macam tu dan tidak tahu sebab apa.

NURSYAKINA

"Melangkah ke alam perkahwinan, keadaan yang Tia lalui tetap sama. Selalu bekas suami dan mentua minta Tia berhenti untuk buat tic tetapi tak boleh. Selepas lima tahun berkahwin, Tia bercerai dan jaga kedua-dua anak Tia.

"Masa umur 23, Tia berjuma seorang lelaki bernama Mohamad Nor Alif Jamsari yang berusia 28 tahun. Dia menjadi tunang Tia sekarang dan kami bakal mendirikan rumah tangga bersama pada 13 Mei ini.

"Dia pun pernah tanya Tia 'kenapa suka buat macam tu, macam gerak-gerak bahu... kelip-kelip mata dan jerit kadang-kadang'. Jadi, Tia beranikan diri bercerita memang daripada kecil Tia buat macam tu dan tidak tahu sebab apa.

Sindrom tourette hanya diketahui pada usianya 24 tahun.

Sindrom tourette hanya diketahui pada usianya 24 tahun.

"Kemudian, dia ambil tindakan bawa Tia pergi klinik dan selepas itu doktor maklumkan yang Tia ada kemurungan. Mula-mula memang tak percaya tapi bila imbau balik, dari kecil kena marah dan jadi mangsa buli serta tiada rakan... perkahwinan pun tak seindah yang disangka," luahnya lagi.

Susulan daripada itu, doktor dari klinik tersebut memberikan surat rujukan terus ke psikiatri dan neurologi.

Daripada situ, dia disahkan mengidap sindrom tourette.

Tia mengakui situasi yang dilalui itu sangat menyedihkan tetapi berterima kasih dengan pengalaman tersebut kerana menjadikannya kuat untuk menghadapi dugaan mendatang.

Tia dan tunangnya bakal mendirikan rumah tangga pada 13 Mei ini.

Tia dan tunangnya bakal mendirikan rumah tangga pada 13 Mei ini.

Malah ibu dan bapanya memohon maaf kerana pernah memarahi serta memukulnya suatu ketika dulu berikutan tidak mengetahui dia menghidap sindrom berkenaan.

Tambah ibu tunggal kepada dua cahaya mata yang berumur 7 dan 4 tahun ini, sejak disahkan itu, dia perlu mengambil ubat dan meneruskan terapi.

"Dahulu di Hospital Serdang tapi sekarang semua di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebab HKL ada pakar neurologi," ujarnya yang turut bersyukur kerana dianugerahkan lelaki yang sanggup terima keadaan dirinya yang menghidap tourette.

Dalam pada itu, Tia memberitahu, anak sulungnya juga sudah menunjukkan simptom tourette sejak usia 5 tahun dan kini turut mendapatkan rawatan serta terapi pakar.

Katanya, doktor mengandaikan sindrom tourette adalah faktor genetik dan persekitaran namun ia masih belum dipastikan kesahihannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain