suria

Mat Kelantan tunggang Ysuku dari KL balik Tumpat demi arwah bapa, hiba pertama kali sambut raya di pusara

Syahmi berkata lebaran kali ini sedikit suram dan hanya kenangan lama yang terbayang di ingatan.

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah kekal selamanya.

Bagi Muhammad Syahmi, 26, pemergian bapanya Che Mahadi Mat Roni akibat Covid-19 pada Ogos tahun lalu masih lagi terasa sehingga ke hari ini.

Dia yang kini bekerja di Kuala Lumpur (KL) sanggup menunggang motosikal untuk balik ke Kelantan apabila Aidilfitri diumumkan secara mengejut pada malam 1 Mei lalu demi menziarahi pusara Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... 2 tahun tahan rindu, anak sedih ada halangan lain tak dapat balik Sabah pada hari kematian bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Raya 3 beradik suram selepas kematian mak ayah, kakak pula dah 6 tahun bawa diri ke Australia

"Selepas pengumuman raya mengejut, kedai tempat saya bekerja ditutup awal sekitar pukul 10.45 malam. Selepas itu, saya terus balik ke rumah dan kemas baju. Dengan keadaan tak mandi, saya memulakan perjalanan menaiki motosikal pada pukul 11.30 malam.

"Alhamdulillah, saya sampai ke Tumpat, Kelantan pada pukul 5.30 pagi. Saya bawa motor sendirian. Tipulah kalau tak risau, takut micro-sleep, kemudian kena lalu kawasan berbukit, kawasan gelap... Saya hanya galas satu beg dan bawa satu lagi beg dalam bakul motor.

"Dulu saya pernah bawa motor dari Kelantan ke KL. Jadi ia merupakan pengalaman kedua menunggang motor jarak jauh masa malam raya hari tu. Saya juga risau jadi mangsa samun. Namun Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan saya.

"Memang niat saya balik pun sebab nak ziarah kubur ayah sempena raya. Sampai pagi tu, terus saya ziarah kubur ayah sebelum beraya. Inilah kali pertama saya beraya tanpa ayah," ujarnya yang mesra disapa Syahmi.

syahmi2

Foto kenangan Syahmi bersama Allahyarham bapanya.

Menurut Syahmi yang bekerja sebagai jurujual, dia sudah kembali ke ibu kota dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang lebih dikenali sebagai Ysuku pada Syawal ketiga.

Mengimbas pengalaman beraya di desa, Syahmi berkata lebaran kali ini sedikit suram dan hanya kenangan lama yang terbayang di ingatan.

"Rasa lain sangat raya kali ini. Memang banyak kenangan raya dengan arwah. Kalau dulu, arwah selalu ingatkan supaya cari daun untuk buat tapai, cari buluh lemang dan sebagainya.

Kita hanya mampu berdoa... sesungguhnya doa anak soleh dan solehah akan sampai kepada arwah ibu ayah mereka.

SYAHMI

"Memang berbeza puasa dan raya tanpa ayah. Rasa sebak, tapi nak tak nak kita kena kuat," ujar Syahmi yang sudah tiga tahun bekerja di ibu kota.

Dalam pada itu, dia juga terharu apabila video ketika dia menziarahi pusara tular dan meraih perhatian di TikTok.

Ujar Syahmi, dia berterima kasih atas segala komen netizen yang banyak memberikan semangat untuk dia kuat meraikan Aidilfitri buat pertama kali tanpa bapa di sisi.

syahmi43

Syahmi sudah tiga tahun bekerja di Kuala Lumpur.

"Ramai yang ucap takziah, pada masa sama ramai yang doakan arwah. Ramai juga anak yatim piatu yang berkongsi kisah mereka di ruangan komen.

"Kata-kata mereka memberikan semangat untuk saya. Kepada mereka yang masih ada mak ayah, hargailah mereka. Baliklah ke kampung sekerap mungkin.

"Memang betul, setiap yang bernyawa pasti akan pergi. Bila mereka dah tiada, kita hanya mampu berdoa. Sesungguhnya doa anak soleh dan solehah akan sampai kepada arwah ibu ayah mereka," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain