suria

TikTok didakwa punca peningkatan kes gadis remaja alami Tics, kegelisahan dan kemurungan

Batas geografi sebelum ini berjaya menghalang gangguan psikologi daripada tersebar namun kewujudan sosial media telah memungkinkan ia untuk tersebar ke seluruh dunia.

DOKTOR di beberapa negara melaporkan peningkatan kes gadis remaja mengalami gejala tics - pergerakan atau mengeluarkan bunyi sama berulang kali - kegelisahan dan kemurungan disebabkan penggunaan TikTok.

Kes ini mula meningkat sekitar awal pandemik Covid-19 dan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan doktor, lapor The Wall Street Journal.

Beberapa artikel dalam jurnal perubatan mendapati gadis-gadis remaja ini sering menonton video TikTok mengenai individu yang mengidap sindrom Tourette.

Sindrom Tourette adalah gangguan sistem saraf genetik, menurut VOA News, dan ia boleh menyebabkan gejala tics. Masalah ini sering berlaku kepada kanak-kanak lelaki dan tics kebiasaannya bermula apabila seseorang itu masih muda sebelum berkembang dari masa ke masa.

Dr Kirsten Müller-Vahl, seorang doktor yang berpusat di Hanover, Jerman memberitahu Jerusalem Post bahawa dia melihat semakin ramai remaja perempuan dan wanita dewasa yang mengalami masalah tics.

Müller-Vahl, yang telah merawat pesakit Tourette selama 25 tahun, berkata miskipun pesakit kebiasaannya akan menunjukkan gejala tics yang berbeza serta unik, gadis-gadis ini bagaimanapun menunjukkan gejala yang sama.

Dia mendapati bahawa pesakit-pesakit itu terikut gejala tics seorang pengguna Youtube Jerman yang sering berkongsi kehidupannya sebagai pesakit Tourette.

Walaupun tidak ada data nasional atau antarabangsa yang dikumpulkan mengenai sejauh mana masalah ini, The Journal melaporkan bahawa beberapa pusat perubatan melihat peningkatan kes sebanyak 10 kali ganda.

Sebelum pandemik Covid-19, pusat-pusat ini melaporkan satu atau dua kes sebulan, tetapi sekarang ada yang terpaksa berhadapan di antara 10 atau 20 kes sebulan.

Caroline Olvera, ahli fellow di Pusat Perubatan Universiti Rush di Chicago, memberitahu The Journal bahawa dia melihat ramai pesakit yang menyebut "beans" menggunakan slang British, walaupun pesakit tersebut tidak boleh berbahasa Inggeris. Dia akhirnya mendapat tahu bahawa terdapat seorang pengguna TikToker Britain yang mengalami masalah Tics serta sering menyebut perkataan "beans" tanpa kawalan.

Namun doktor memberitahu bahawa apa yang berlaku bukanlah sindrom Tourette, sebaliknya gangguan pada fungsi pergerakan.

Mereka memberitahu The Journal bahawa ramai kanak-kanak yang mengalami tics ini pernah disahkan mengalami masalah kegelisahan atau kemurungan yang menjadi semakin teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Sebuah laporan yang ditulis Mariam Hull, pakar neurologi kanak-kanak di Hospital Kanak-Kanak Texas mendapati bahawa batas geografi sebelum ini berjaya menghalang gangguan psikologi daripada tersebar namun kewujudan sosial media telah memungkinkan ia untuk tersebar ke seluruh dunia.

Dia memberitahu The Journal bahawa tidak mungkin seseorang itu mengalami tics dengan hanya menonton satu video namun algoritma yang ada pada TikTok menyebabkan kanak-kanak ini terdedah kepada video yang memaparkan isu sama beulang kali.

"Beberapa orang kanak-kanak mengeluarkan telefon bimbit dan menunjukkan akaun TikTok mereka, (timeline) mereka penuh dengan cabaran memasak dan abjad bagi pesakit Tourette ini," kata Hull.

The Jerusalem Post melaporkan bahawa gangguan ini boleh dirawat.

Doktor mencadangkan supaya kanak-kanak berehat daripada menggunakan media sosial dan ibu bapa peka akan video apa yang ditonton anak-anak mereka, lapor The Journal.

Sekiranya kanak-kanak itu menunjukkan gejala tics yang mengganggu kehidupan seharian, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat pakar. - Business Insider

Artikel Lain