suria

Alat suntikan tanpa jarum sedia dalam satu atau tiga tahun lagi

Bubble Gun memerlukan masa satu hingga tiga tahun sebelum sedia untuk digunakan masyarakat umum.

PENYELIDIK di Belanda sedang membangunkan alat suntikan tanpa jarum yang yang mana mereka harapkan akan dapat meredakan ketakutan serta mendorong golongan yang takut jarum untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Bubble Gun" menggunakan laser untuk menolak titisan kecil ke lapisan luar kulit.

David Fernandez Rivas, dari Universiti Twente dan Institut Teknologi Massachusetts, membangunkan kaedah suntikan ini.

Prosesnya lebih pantas daripada gigitan nyamuk dan penerima suntikan "tidak akan rasa sakit" kerana hujung saraf di dalam kulit tidak akan disentuh, katanya, menambah bahawa kaedah ini masih memerlukan kajian lanjut.

"Kita melakukannya (suntikan) dengan mempercepat (proses) titisan cairan kecil yang menembusi lapisan kulit dan kaedah ini mempunyai banyak kelebihan.

"Yang pertama dapat menghilangkan rasa takut.

"Selain itu, kita sering terdedah kepada benda asing disebabkan jarum yang digunakan dan sistem imun tubuh kita berfungsi dengan sangat baik apabila kita menyuntik ke atas lapisan kulit yang dangkal ini," katanya.

Henk Schenk turut menawarkan terapi bagi membantu mereka yang menderita trypanophobia - atau takut dengan jarum.

Ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, katanya. Kira-kira satu dari lima orang Belanda menderitanya, dan pandemik Covid-19 secara tidak langsung mendedahkan isu ini.

Bubble Gun memerlukan masa satu hingga tiga tahun sebelum sedia untuk digunakan masyarakat umum, namun ia bergantung pada kemajuan kajian dan isu berkaitan perundangan.

Permohonan dana untuk memulakan ujian ke atas manusia secara sukarela akan dilakukan bulan ini, kata Rivas.

Sebuah syarikat baru akan bekerjasama dengan industri farmaseutikal, katanya, untuk menguji dan memasarkan Bubble Gun. - Reuters

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Messi menang anugerah Ballon d'Or