suria

Berhabis ribuan ringgit, cuba lebih 10 produk... sudahnya tepung pulut harga tak sampai RM10 bantu rawat jerawat teruk!

Fa sudah lali dengan pelbagai kata-kata orang sejak kulit wajahnya bermasalah.

MASALAH kulit wajah yang berlarutan sehingga lebih lima tahun membawa banyak kesan buruk buat jejaka ini.

Menurut Muhammad Farihin Harudin, 25, masalah berkenaan turut membuatkan dia kurang keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai.

Bercerita kepada mStar, dia yang senang disapa Fa mengakui sudah mencuba lebih 10 produk, malah berbelanja ribuan ringgit demi mendapatkan kulit wajah yang sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba lebih 30 produk tapi gagal, tapi sejak 6 bulan tak minum air manis akhirnya kulit makin flawless

ARTIKEL BERKAITAN: Stres berganda! Nak hadap SPM tapi kulit muka buat hal, sampai ada suruh pakai kertas pasir

"Kulit muka saya mula breakout masa umur 19 tahun. Ketika itu saya sedang belajar bidang elektrikal. Masa intern, saya banyak bekerja di tempat pembinaan, dalam bangunan yang berhabuk.

"Kulit saya pula sensitif, terus naik jerawat. Tapi pada waktu itu, saya tak fikir pasal muka. Macam tak ada rasa nak handsome atau insecure dengan muka orang lain.

"Tapi lama-kelamaan bila meningkat usia, saya banyak tengok media sosial bagaimana orang lain jaga kulit, saya mula rasa insecure, rasa kurang yakin dengan diri.

"Sejak itu, saya banyak mencuba sampai lebih 10 produk. Macam-macam kolagen saya beli sampai habis beribu ringgit," ujarnya.

Selain kurang keyakinan diri, Fa berkata dia juga sudah lali dengan kata-kata kurang sensitif orang sekeliling berkaitan kulit wajahnya.

Menurut Fa, dia sebagai manusia biasa sudah tentu akan berkecil hati dengan pelbagai tuduhan, namun menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk berusaha memperbaiki diri.

fa4

Masalah kulit wajah membuatkan Fa kurang keyakinan diri.

"Ramai orang tegur muka saya. Biasalah orang Malaysia, mesti akan bagi komen yang teruk. Ada yang kata saya tak cuci muka, jarang mandi, pengotor dan sebagainya.

"Mereka juga kata sia-sia saya beli produk mahal, tapi tak berkesan. Ada yang tanya, macam mana saya boleh keluar rumah dengan kulit teruk macam tu? Saya nak buat macam mana, ini semua takdir Allah.

"Saya hanya mampu sabar dan fikir positif. Lagipun yang bercakap tu kawan-kawan sendiri. Tapi pada masa sama, kata-kata mereka jadi pembakar semangat untuk saya berubah," ujarnya.

Saya jumpa petua ni di Twitter. Sejak saya amalkan, parut makin pudar dan bersih. Cuma benda tradisional ni makan masa lama.

FA

Menurut Fa yang menetap di Batang Kali, Selangor, masalah kulit wajahnya bagaimanapun mula beransur pulih selepas dia melakukan rawatan laser pada tahun lalu.

Tambah Fa, rawatan berkenaan masih lagi berterusan sehingga ke hari ini, malah dia juga tidak lupa mencuba petua tradisional menggunakan tepung pulut demi mempercepatkan lagi pemulihan wajahnya.

"Sekarang saya buat rawatan, saya buat laser pada wajah sejak Oktober tahun lepas dan ia dijangka tamat pada Julai depan. Alhamdulillah, kulit makin pulih walapun tak licin sangat, tapi lebih elok dari dulu.

fa3

Selain rawatan laser, Fa juga mengamalkan petua tepung beras pulut.

"Sekarang saya rasa lebih yakin nak jumpa orang. Biasalah bila berjumpa sesiapa, pasti orang akan tengok kulit muka. Sekarang bila kulit makin bersih, lagi senang saya nak jaga.

"Pada masa sama, saya juga guna petua tepung beras pulut sejak setahun lepas. Saya jumpa petua ni di Twitter. Sejak saya amalkan, parut makin pudar dan bersih. Cuma benda tradisional ni makan masa lama.

"Tepung pulut tu kita campurkan dengan air biasa, larutkan sampai sebati, letak pada muka dan biar ia kering dalam 10 ke 15 minit. Kemudian bilas macam biasa, boleh amalkan hari-hari terutama pada waktu malam," ujarnya sambil menambah harga tepung pulut cuma RM6.90.

Dalam temubual sama, Fa sempat menitipkan pesan kepada insan senasib dengannya agar tidak putus asa dalam mencari penawar untuk masalah kulit wajah masing-masing.

fa2

Biarpun belum pulih sepenuhnya, Fa akui gembira dengan perubahan pada wajahnya.

"Kepada mereka yang breakout macam saya, cubalah yakin dengan diri. Kena percaya takdir, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Jangan fikir ia akan kekal selamanya. Jangan terlampau risau. Semua orang handsome dan cantik.

"Pada yang ada rezeki lebih, saya sarankan buat rawatan laser, ia memang membantu. Yang mana kurang mampu, boleh guna petua tepung pulut atau cara lain. Ia tidak makan kos yang besar," ujarnya yang bekerja dengan syarikat pemasangan meter elektrik.

Kisah Fa menjadi perhatian selepas dia berkongsi video transformasi kulit wajahnya menerusi aplikasi TikTok.

Menurut Fa, dia sekadar berkongsi video untuk menyampaikan mesej positif kepada insan senasib dengannya agar mereka sentiasa bersemangat dan yakin pada diri sendiri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain