suria

“Amboi, nak suruh tempek nombor akaun dia pula” - Cikgu bengang penerima bantuan ‘membawang’ sebab dapat sikit duit sumbangan, dah diberi paha nak ngap kepala!

Mohd Fadli (duduk) meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila ada segelintir penerima bantuan yang bersikap tamak. Foto: FB Mohd Fadli Salleh

TIDAK dinafikan, pandemik Covid-19 yang melanda sejak hampir setahun lalu membuatkan rata-rata masyarakat di negara ini terjejas teruk ekoran kehilangan sumber pendapatan.

Tidak mudah berdepan situasi ini kerana golongan yang sebelum ini boleh dikatakan 'selesa' pun jatuh terduduk, apatah lagi golongan yang sudah dikategorikan kurang berkemampuan.

Sudah tentunya mereka mengharapkan bantuan ramai untuk meneruskan kehidupan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ikut dialah nak jadi apa pun” - Guru dedah perlu hadap sisi buruk penerima bantuan, tak semua orang miskin jujur!

ARTIKEL BERKAITAN: Aktivis lepas geram, ibu ‘demand’ 18 pek susu formula untuk sebulan... dah lupa cara susu badan - “Tak tahu macam mana nak mula balik”

Namun malangnya, ada juga segelintir daripada golongan ini yang bersikap 'tidak bersyukur' apabila mula menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sumbangan yang diterima.

Perkara itu didedahkan oleh Mohd Fadli Salleh, seorang guru yang bertanggungjawab menguruskan sebuah NGO kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan Dana Kita menerusi satu perkongsian di Facebook.

"Geram. Ada kawan yang aku kenal lama call bercerita. Satu keluarga ni datang mengadu dekat dia aku tulis kisah tentang keluarga mereka, tapi letak nombor akaun Dana Kita.

"Sepatutnya duit semua sumbangan tu masuk dekat dia, katanya. Siap tunjuk screenshot kisah dia dan nombor akaun rasmi NGO kami. Mula dok buruk-burukkan Dana Kita pula.

"Kawan aku tu senyum ja. Sebab dia dah kenal lama dah aku. Bahkan dia banyak sangat kirim sumbangan melalui Dana Kita. Terus dia call aku cerita," tulis Mohd Fadli.



Pertubuhan Kebajikan Dana Kita mengagihkan sehingga ribuan set barangan keperluan dapur kepada golongan sasaran.

Dalam nada berbaur kecewa, guru berkenaan dalam masa yang sama membuat penjelasan mengenai pengagihan sumbangan Dana Kita agar semua pihak lebih memahami konsep sebenar yang diamalkan oleh pertubuhan tersebut.

"Rules Dana Kita sejak dulu takkan share maklumat akaun peribadi mana-mana sasaran. Amboi, senang nak kaya cepat. Nak suruh tempek nombor akaun dia pula.

"Dana Kita kadangkala terima sumbangan hingga berpuluh ribu sehari bila aku menulis sesuatu kisah yang membuka hati orang ramai untuk bersedekah. Dan aku takkan bagi semua pada keluarga yang aku tulis tu saja. Ia dana awam. Aku bagi setakat yang perlu dan boleh beri.

"Habis tu berpuluh ribu tu pergi mana? Ni haa, pergi sini. Pergi untuk ziarah asnaf lain pula. Purata agihan kami sebulan ialah 1,000 set barang dapur. Tu waktu biasa.



Tidak terhad kepada bantuan keperluan dapur, Dana Kita turut memberi sumbangan untuk pendidikan, contohnya pemberian komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan.

"Waktu PKP macam ni, agihan boleh cecah puluhan ribu set sebulan.

"Satu set RM50, kalau 5000 set tak ke RM250,000. Kira Matematik mudah ya," terang Mohd Fadli.

Malah tambahnya, sumbangan orang ramai yang disalurkan ke akaun Dana Kita tidak hanya terhad kepada bantuan set barang dapur atau keperluan rumah kumpulan sasaran sahaja, sebaliknya ia diagihkan untuk menampung perbelanjaan lain seperti kos pendidikan anak yatim.

Walau tahu mereka hulur racun, aku tetap sambut dan balas dengan madu. Tapi sikap tamak nak ambil semua madu sampai sanggup tikam aku dari belakang.

MOHD FADLI SALLEH

GURU/AKTIVIS KEBAJIKAN

"Aku juga 'payung' beberapa rumah anak yatim, rumah orang-orang tua, kos pendidikan, bayar tuisyen anak-anak asnaf, projek waqaf buat masjid surau, buat jalan, repair rumah asnaf yang terpilih dan sebagainya.

"Semua tu memerlukan kos tetap yang tinggi setiap bulan.

"Sedap mulut dok burukkan nama Dana Kita macam-macam sebab nak duit senang. Amboi amboi, amboi!

"Dah la aku tulis punya la jaga aib mereka. Wajah semua tutup, nama sebenar tak tulis, alamat dan lokasi aku tak kongsi melainkan pada pusat zakat dan pihak berkuasa.

"Walau tahu mereka hulur racun, aku tetap sambut dan balas dengan madu. Tapi sikap tamak nak ambil semua madu sampai sanggup tikam aku dari belakang," ujarnya kecewa.



Antara aktiviti turun padang Dana Kita adalah menyantuni golongan gelandangan.

Menurut Mohd Fadli, sikap tamak golongan seperti ini sedikit sebanyak membuatkannya tawar hati untuk menghulurkan bantuan.

"Diberi betis nak paha. Paha pun aku bagi lagi, punya la nak bantu dan kesian. Ni nak ngap kepala aku pula. Melampau sangat dah la.

"Aku malas layan dah orang macam ni. Pergi la mana nak pergi. Buat la apa yang nak buat. Aku berlepas tangan. Tak payah datang cari aku dah lepas ni," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain