Aktivis lepas geram, ibu ‘demand’ 18 pek susu formula untuk sebulan... dah lupa cara susu badan - “Tak tahu macam mana nak mula balik”

Syed Azmi meluahkan perasaan geramnya mengenai sikap segelintir pemohon bantuan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Foto Facebook Syed Azmi

DALAM waktu yang sukar akibat wabak Covid-19 terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ramai yang menerima kesannya.

Selain bantuan kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga tidak terkecuali membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan impak wabak ini.

Namun malangnya, terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengambil iktibar dengan kesulitan dihadapi ketika ini sehingga ditegur oleh aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru dikecam beri sumbangan snek, coklat mahal untuk orang susah! “Aku letak diri aku sebagai penerima”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya PM cikgu ni mak tak tahu” - Guru terkejut dapat mesej remaja 14 tahun... akui kesempitan hidup keluarganya memang ‘real’

Syed Azmi yang turut membantu mengendalikan sumbangan kebajikan akibat penularan wabak Covid-19 berkongsi kisah seorang wanita yang juga bergelar isteri dan ibu yang memohon untuk mendapatkan bantuan.

Seorang wanita memohon untuk mendapatkan bantuan berupa susu formula untuk bayinya. Gambar hiasan/Foto nutraingredients.com

“Ada satu kes, kita dah cakap bagi bantuan untuk satu minggu. Bantuan dapur ke, susu, lampin dan sebagainya. Keluarga dia ada tiga hingga empat anak, dan ada bayi berusia lapan bulan.

“Dia mintak 18 pek susu formula bayi. Saya tanya ini untuk sebulan ke seminggu? Dia cakap untuk sebulan. Saya kata tak boleh, (bantuan diagihkan) untuk seminggu.

“Daripada 18 pek tu, tiba-tiba dia kata nak 15 pek sahaja. Saya cakap dengan dia 18 pek untuk sebulan (dan) seminggu untuk 15 pek macam tak kena. Dia jawab ‘kalau dapat lebih sikit, dapatlah minum lebih sikit’,” demikian luahan Syed Azmi menerusi video penstriman secara langsung di laman Facebook, mengenai pengalamannya menyemak butiran pemohon.

Terkejut dengan jawapan wanita berkenaan, Syed Azmi membuat perkiraan dari segi pendapatan bulanan suami wanita itu termasuk perbelanjaan dan kos lain seperti sewa rumah.

“Selepas tolak sewa, minyak motor tinggal banyak ni. Gaji banyak ni pun untuk sebulan, nak beli susu pun tak lepas.

“Cakaplah betul-betul, saya nak beri bantuan ni. Macam nilah, saya beri barang dapur, saya bagi susu formula untuk anak kecil tu, untuk seminggu,” katanya.

Syed Azmi melepaskan geram menerusi penstriman video secara langsung.

Hakikatnya, Syed Azmi turut mahu mendidik masyarakat terutama kaum wanita agar memberikan susu ibu untuk anak-anak mereka sebagai langkah penjimatan.

Syed Azmi kemudian bertanya lagi apakah alternatif lebih menjimatkan bagi menggantikan susu formula bayi dan antara yang dijawab adalah bubur nasi.

“Kalau tak boleh sangat macam mana? Kita nak mendidik dan membimbing. Dia cakap ‘tak boleh bagi susu formula, macam tu bagilah susu pekat manis’.

“Jangan nak buat cerita kasihan. Saya tanya tak nak buat menyusu badan ke? Dia kata ‘boleh, tapi tak tahu macam mana nak mulakan balik’,” ujar Syed Azmi yang menyarankan wanita berkenaan mendapatkan nasihat mengenai penyusuan susu ibu di klinik kesihatan.

Tolonglah, dah kata susu mahal, suami pun kerja gaji tak berapa banyak, jadi akak susah. Saya geram ni sebab malu nak cakap pasal menetek ni

SYED AZMI

Apa yang lebih dikesali apabila saranannya kepada ibu berkenaan untuk mengurut payu dara bagi melancarkan pengeluaran susu badan diperlekehkan.

“Saya cakap macam nilah, saya bagi sikit susu formula tu. Tapi akak masih kena pergi ke klinik dan cuba juga breastfeeding (penyusuan susu ibu).

“Tolonglah, dah kata susu mahal, suami pun kerja gaji tak berapa banyak, jadi akak susah. Saya geram ni sebab malu nak cakap pasal menetek ni. Dalam keadaan yang terdesak ni, kita perlu lebih bijak.

“Maaf, saya terpaksa lepaskan geram kerana ia pasal anda dan keluarga anda, maka anda patut lebih tahu macam nak uruskan kewangan,” katanya.

Kaum ibu dididik untuk melakukan penyusuan susu ibu bagi menggantikan susu formula bayi.

Syed Azmi menerusi Persatuan untuk Anak Kita membantu banyak keluarga sepanjang PKP, dan bantuan mengutamakan barang keperluan untuk seisi keluarga.

“Macam sewa saya kena semak dulu, kalau tunggakan sebelum Covid-19 pun dah tertunggak, jadi apa beza selepas Covid-19 pun. Jadi, jangan ambil kesempatan.

“Nak buat benda baharu macam nak bina tandas saya tak layan. Kita beri barang dapur, susu dan keperluan anak selama seminggu. Ada yang minta beg sekolah ada roda untuk anak pun saya tak layan.

“Kalau bahasa kurang ajar, tak beradab… saya akan buang juga (daripada senarai penerima bantuan),” katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi