suria

Kerja hebat, duit tak pernah cukup! Anak dapat pengajaran akibat fikir poket sendiri, keajaiban berlaku selepas niat bagi 80 peratus gaji untuk mak ayah

Perkongsian video pemuda bernama Syarifuddin di TikTok dan Instagram memaparkan dia memberi duit gaji kepada ibu bapanya menjadi tular, baru-baru ini.

RESTU dan reda ibu bapa dalam kehidupan seseorang amat penting untuk mendapatkan keredaan Yang Maha Esa.

Mungkin ada sesetengah individu tidak terlalu mengambil berat mengenai perkara yang satu ini, namun sebenarnya ia amat berkait rapat dengan kehidupan seseorang yang bergelar anak.

Baru-baru tular satu klip video menyentuh hati yang dikongsikan oleh seorang pelayar di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang tak sempat makan, si anak senyap-senyap bekalkan roti... siap selit nota 'sweet' buat ibu - “Tak terfikir dia buat macam tu”

ARTIKEL BERKAITAN: Tangguh beli kereta, lelaki ini habiskan tabungan bina ‘mahligai’ baharu buat ibu - “Kalau malam, mak sanggup tahan buang air kecil”

Menerusi klip video yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan Instagram itu, ia memaparkan pelayar berkenaan memberikan wang gajinya serta membelikan pelbagai makanan untuk kedua ibu bapanya di kampung.

"Saja cerita pengalaman aku, dulu selepas habis zaman UiTM, banyak kerja dah aku buat tapi setiap kali gaji, duit aku tak pernah cukup. Sebab aku jarang bagi dekat mak ayah kat kampung dan tolong keluarga, jarang bersedekah dan jarang semualah. Alhamdulillah, bulan ni gaji pertama aku, aku ada rezeki lebih untuk dikongsi dengan mereka berdua," demikian kapsyen yang ditulis pada hantaran video berkenaan.

Menurut pelayar berkenaan, Muhamad Syarifuddin Mat Husin, video yang dimuat naik tersebut bertujuan untuk mengabadikan kenangan serta berkongsi kisah dengan rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial.



Tangkapan skrin daripada video yang dimuat naik oleh Syarifuddin ketika dia menghadiahkan wang gaji kepada ibu bapanya.

Menurutnya, ia adalah antara momen yang begitu bermakna kerana impiannya untuk pulang berbakti kepada ibu bapa dan keluarga di kampung akhirnya dapat ditunaikan selepas sekian lamanya.

"Saya berhijrah ke Selangor pada 2013 sebab melanjutkan pelajaran. Selepas tamat belajar, ada juga ibu dan ayah suruh saya balik bekerja dekat kampung di Gua Musang, Kelantan.

"Tapi biasalah.... usia masih muda masa itu. Rasa tak puas duduk bandar. Jadi saya menolak dengan alasan dekat bandar besar banyak peluang pekerjaan.

"Dalam tempoh hampir enam bulan duduk di Selangor dan Kuala Lumpur, macam-macam pekerjaan saya buat. Saya pernah jadi cikgu ganti, bekerja di jabatan kerajaan dan juga agensi swasta.



Syarifuddin kini lebih gembira kerana tempat kerja baharunya terletak berdekatan kampung halaman dan lebih dekat dengan keluarga.

"Tiap kali gaji, memang jarang hulur dekat ibu dan ayah... semua lebih kepada perbelanjaan sendiri tambahan pula duduk dekat bandar yang menuntut kos sara hidup yang tinggi. Kerja jauh, duit tol, duit minyak saya sanggup tahan demi nak kerja di bandar," ujar pemuda yang senang disapa sebagai Syarifuddin ini.

Sehinggalah pada penghujung tahun 2018, Syarifuddin berkata, dia akhirnya terdetik untuk pulang ke kampung kerana memikirkan keadaan kedua ibu bapanya yang sudah berusia.

Ibu dan ayah terkejut sebab saya tak pernah beri wang sebanyak itu sebelum ini. Sehingga kini bila tengok video itu, walau banyak kali ulang, saya masih sebak.

MUHAMAD SYARIFUDDIN MAT HUSIN

ANAK

"Masa itu barulah saya terfikir, sampai bila saya nak duduk di bandar, bersuka-suka sedangkan ibu ayah makin lanjut usia. Ibu saya dah 63 manakala ayah pula 69.

"Walaupun bukan anak sulung, tapi saya anak lelaki dan ibu ayah tetap jadi tanggungjawab tambahan ada adik beradik lain sudah berumah tangga.

"Hendak jadikan cerita, saya dapat tawaran bekerja di sebuah bank di pekan Gua Musang. Walaupun ketika itu saya ada kerja lain, saya sanggup pergi temu duga dan Alhamdulillah, saya dapat. Mungkin Allah aturkan saya dekat dengan orang tua," kata pemuda berusia 29 tahun ini.

Namun, pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan ramai individu terjejas, termasuklah Syarifuddin yang turut terkesan apabila kontraknya tidak disambung selepas setahun berkhidmat.



Syarifudin bergambar kenangan bersama ibu sewaktu konvokesyen pada 2015.

"Ketika itu pertengahan Februari, betul-betul setahun kontrak. Tapi sebab PKP, kontrak tak disambung. Selama menganggur, saya cari kerja lain dan jadi agen biskut. Itulah sumber pendapatan untuk saya lunaskan komitmen dan bantu ibu bapa sikit-sikit.

"Sepanjang tempoh itu, saya dekatkan diri dengan Tuhan dan banyak bermuhasabah. Masa itulah saya terdetik, kalau dapat kerja yang okay, saya nak beri 80 peratus duit dekat ibu ayah.

"Hampir lapan bulan tak ada kerja yang tetap, akhirnya bank tempat saya bekerja dahulu hubungi dan tawarkan saya kerja semula. Alhamdulillah syukur sangat. Sebab itu saya tunaikan niat untuk beri gaji kepada ibu ayah apabila dapat bayaran gaji pertama," katanya yang kini baru tiga minggu bekerja di bank berkenaan.



Syarifuddin yang juga anak ketujuh daripada lapan adik beradik menyimpan hasrat untuk berbakti kepada keluarga dan penduduk kampungnya.

Syarifuddin yang juga anak ketujuh daripada lapan adik beradik ini berkata, dia gembira apabila melihat reaksi ibu dan bapanya yang nyata terkejut apabila menerima 'hadiah' daripadanya.

"Ibu dan ayah terkejut sebab saya tak pernah beri wang sebanyak itu sebelum ini. Mereka ucap terima kasih dan doakan saya. Sehingga kini bila tengok video itu, walau banyak kali ulang, saya masih sebak. Itulah momen yang meninggalkan kesan kepada saya.

"Bersyukur sangat atas apa yang Allah aturkan untuk saya. Janganlah sesekali kita berkira dengan orang tua. Yang duduk jauh, hubungilah mereka selalu dan bahagiakan mereka selagi hayat masih ada. Mudah-mudahan dengan rezeki yang ada ni, saya nak bantu orang kampung pula," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Calon SPM MRSM Lipis dikuarantin