suria

Bimbang tak sempat makan, si anak senyap-senyap bekalkan roti... siap selit nota 'sweet' buat ibu - “Tak terfikir dia buat macam tu”

Perkongsian Arzuliana mengenai anak bongsunya, Shahmi Haziq menjadi tular di media sosial.

LAZIMNYA, kanak-kanak lelaki secara semula jadinya sedikit nakal dan kurang bersifat sensitif.

Ada kalanya sifat nakal mereka membuatkan ibu bapa pening kepala walaupun keletah mereka ligat dan lincah.

Namun perkongsian seorang pelayar Facebook ini mengenai anak lelakinya benar-benar membuatkan netizen tersentuh dan 'cair' dengan gelagatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejuk perut ibu mengandung! Anak pasang aircond di bilik mengaji mak, air panas dah tak perlu masak... jodoh tolak tepi dulu!

ARTIKEL BERKAITAN: Tangguh beli kereta, lelaki ini habiskan tabungan bina ‘mahligai’ baharu buat ibu - “Kalau malam, mak sanggup tahan buang air kecil”

Mana tidaknya, si anak secara sembunyi-sembunyi membekalkan roti serta menyelitkan sekeping nota ke dalam beg tangan ibunya sebelum keluar bekerja.

Menerusi nota tersebut, si anak berpesan agar menjamah roti yang dibekalkan kerana bimbang ibunya tidak sempat untuk menikmati makanan, selain beberapa pesanan lain.



'Kejutan' yang diterima Arzuliana daripada anak bongsunya, Shahmi Haziq.

"Untuk ibu daripada adik. Ibu, baliklah awal. Adik sayang ibu... harap-harap ibu balik pukul 6 petang. Ibu bawa kereta hati-hati," tulis si anak pada sekeping nota yang dilekatkan bersama sebuku roti.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 7,400 likes dan 271 shares di Facebook.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pelayar bernama Arzuliana Arshad berkata anak bongsunya, Shahmi Haziq Shah Rizal yang berumur sembilan tahun sememangnya seorang kanak-kanak yang sangat bersikap prihatin, penyayang dan mempunyai jiwa yang sensitif.



Nota menyentuh jiwa yang dicoret oleh Shahmi kepada ibunya.

"Sebenarnya dah banyak kali dah Shahmi letakkan roti di dalam beg saya. Cuma baru-baru ini baru saya kongsikan di dalam Facebook Anak Sepahkan Apa Hari Ni. Dan memang tak sangka boleh jadi viral.

"Roti tu ayahnya belikan untuk bekalan sampingan dia dan abangnya ke sekolah. Entah bila masa ditaruk dalam beg saya. Selalunya sebelum tidur saya dah siap-siapkan beg supaya esok kerja awal pagi terus jinjing keluar saja.

"Tapi sampai kat tempat kerja tengok-tengok ada kejutan. Waktu pertama kali, berair juga mata... terharu, seronok, sedih. Tak terfikir dia buat macam tu. Budak lelaki selalu tak macam tu tapi Shahmi ni lain.... terlebih prihatin," katanya yang merupakan seorang penjawat awam.

Dia ni dari kecil memang prihatin. Kalau makan dekat luar, dia akan minta air kosong saja. Selalu budak-budak suka air manis. Bila tanya kenapa, dia jawab takut ibu tak ada duit nak bayar.

ARZULIANA ARSHAD

IBU

Bercerita lebih lanjut mengenai Shahmi, Arzuliana turut berkongsi beberapa gelagat anak bongsunya yang benar-benar menyentuh perasaannya sebagai ibu.

"Dia ni dari kecil memang prihatin. Kalau makan di luar, dia akan minta air kosong saja. Selalu budak-budak suka air manis. Bila tanya kenapa, dia jawab takut ibu tak ada duit nak bayar.

"Kalau kat rumah, dia selalu tanya, ibu dah makan ke belum? Saya ni kerja hampir 15 jam sehari, jadi bila pulang tu dah malam. Jadi dia takut ibu dia tak makan. Dia nak saya makan dulu, baru dia makan.



Dua insan yang menjadi penyejuk mata Arzuliana.

"Kadang balik kerja tengok dia dah lipat baju, baju satu famili pula tu. Mula-mula tu tak berapa betul, lama-lama dah kemas sikit lipatannya. Kalau bab kemas rumah tu dia tak berapa sangat, itu abang dia punya bahagian.

"Lagi satu, dia dengan saya mesti tak boleh berenggang. Kalau ayah dia nak balik kampung, tak nak ikut kalau ibu tak ada," cerita wanita berusia 37 tahun yang juga ibu kepada dua cahaya mata ini.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi viral, Arzuliana tidak menafikan menerima pelbagai komen di mana ada antara netizen yang bertanyakan tip membesarkan anak.

"Ramai juga yang tanya tip dari saya. Tapi mungkin setiap orang caranya berbeza. Tapi cara saya, daripada anak-anak kecil lagi, setiap kali selepas balik kerja, macam mana penat sekalipun saya mesti duduk dengan mereka.



Arzuliana tidak menyangka ada netizen yang meminta tip mendidik anak-anak sejak perkongsiannya viral.

"Saya luangkan dalam sejam hingga dua jam mendengar cerita mereka, tengok mereka buat homework... tengok televisyen sama-sama. Sebab rutin kerja saya bermula awal pagi dan berakhir kira-kira 8.00 malam dan keesokannya akan cuti sehari.

"Sebelum tidur, sekali lagi saya bersembang dengan anak-anak dan baru saya masuk bilik. Memang rutin macam tu. Saya kerja lama, jadi masa yang ada memang manfaatkan betul-betul.

"Dan kalau mereka ada buat kesalahan, jangan terus marah... tapi dengar dulu penjelasan mereka. Kemudian barulah tegur mereka dan jelaskan apa yang dilakukan itu tak betul. Kita sebagai ibu bapa jangan cepat menghukum anak," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p
nota anak, bekal roti, anak sweet

Artikel Lain