Sejuk perut ibu mengandung! Anak pasang aircond di bilik mengaji mak, air panas dah tak perlu masak... jodoh tolak tepi dulu!

Hurairah menghadiahkan penyaman udara untuk keselesaan ibunya di bilik mengaji di rumah.

KASIH ibu membawa ke syurga. Tapi bagaimana pula kasih anak kepada seorang ibu?

Bagi seorang pemuda, dia memilih mendahului ibunya daripada memikirkan tentang soal jodoh.

"Hari ni aircond (penyaman udara) untuk bilik mengaji dengan Coway (penapis air) sampai, senyum lebar juga mak aku hari ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak buat kejutan bawa mak ke Pulau Tioman, hadiah rantai emas undang drama air mata – "Apa yang saya buat ni tak cukup"

ARTIKEL BERKAITAN: Umur 64 tahun baru merasa masuk mall, wanita ini enggan keluar kereta... alasannya buat ramai bergenang air mata

"Pasal jodoh tolak tepi, baik aku 'happy'kan mak dulu. Love you ma," tulis seorang pemuda sehingga diulang kicau lebih 6,000 kali dan meraih lebih 20,000 tanda suka.



Perkongsian Hurairah meraih perhatian netizen.

Pemuda berkenaan, Muhammad Hurairah Abdul Latiff berkata, dia sekadar mahu menggembirakan ibunya yang kini berusia 60 tahun yang juga seorang ibu tunggal selepas bapanya meninggal dunia akibat kanser hati pada 2014.

Hurairah bagaimanapun menegaskan bahawa dia bukan ejen menjual penapis air mahupun penyaman udara untuk mempromosikan kedua-dua barangan tersebut di laman sosial.

"Saya kini tinggal berdua dengan mak dan di rumah kami ada bilik tambahan yang selalu digunakan mak untuk solat dan mengaji. Mak tak minta pun ada aircond, tapi saya sendiri mahu menghadiahkannya untuk memberi lebih keselesaan kepada mak semasa berada di dalam bilik tu. Sebelum ni pakai kipas sahaja.

"Pasal penapis air tu memang dah lama mak teringin, kira-kira setengah tahun dah hajat mak tu sebab sebelum ni mak ambil masa untuk panaskan air atau nak buat air sejuk. Alhamdulillah, saya ada rezeki lebih dan saya tunaikan hajat mak," kata pemuda berusia 24 tahun itu kepada mStar.



Hurairah sering membawa ibunya keluar berjalan-jalan sambil 'food hunting'.

Hurairah yang menetap di Cheras, Selangor berkata, sejak kebelakangan ini terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pengguna Twitter berkongsi keluhan dan perasaan mereka mengenai status bujang dan mahu mencari pasangan hidup.

"Ramai yang tweet pasal mereka single dan mencari jodoh. Itu pilihan mereka dan hak masing-masing. Macam saya hanya berkongsi mahu menggembirakan mak.

"Bagi saya, selagi kita ada mak, utamakan dan bahagiakan mereka dahulu. Sampai satu masa atau tiba masanya, barulah saya settle down untuk fikir soal jodoh.

"Sejak ayah meninggal dunia dan adik-beradik lain sudah berkahwin serta mempunyai komitmen keluarga masing-masing, saya yang menjaga mak memandangkan kami tinggal berdua bersama," katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Ramai yang tweet pasal mereka single dan mencari jodoh. Itu pilihan mereka dan hak masing-masing. Macam saya hanya berkongsi mahu menggembirakan mak.

HURAIRAH

Menurut Hurairah, kedua-dua barang yang dibeli secara istimewa buat ibunya bukan satu kejutan kerana hasrat tersebut telah dimaklumkan lebih awal.

"Nak gembirakan mak sendiri tak semestinya kena buat surprise. Yang penting saya melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan mak.

"Macam mak saya suka berjalan-jalan terutama 'food hunting'. Kalau nak bagi dia happy, saya bawa dia berjalan-jalan dan makan di luar," ujar content creator sambilan itu.



Bagi Hurairah, soal jodoh adalah perkara kedua kerana keutamaan kini ialah mahu menjaga ibunya.

Pemuda itu turut berkongsi minat ibunya yang banyak menghabiskan masa menonton laman YouTube dengan mempelajari masakan daripada cef-cef terkenal.

"Mak pernah belajar resipi lasagna di YouTube dan kemudian dia pula ajar saya untuk masak lasagna. Selain itu, mak juga ada ajar saya masak beberapa jenis pasta.

"Tapi jangan ingat mak saja yang masak untuk saya, sebab saya pun ada masak untuk mak di rumah. Selagi boleh dan ada peluang, saya akan cuba untuk menyenangkan dan menggembirakan mak... dialah mak, dialah juga ayah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain