suria

Gadis cuba hapus rasa ralat sejak sekolah rendah sebab merajuk dengan arwah bapa, jual macam-macam dari dulu sampai sekarang demi bahagiakan keluarga

Syasya (tudung merah jambu) membuat perkongsian video mengenai meja baharu yang dibeli untuk adiknya.

PEMERGIAN bapa tercinta yang maut dalam kejadian kemalangan 11 tahun lalu ternyata memberi impak cukup besar buat gadis ini.

Menurut Nurulayu Natasha, 19, dia juga sama sekali tidak pernah lupa akan satu 'wasiat' besar yang disampaikan oleh arwah bapanya, Mohd Azahari Khan Mohd Sidik pada hari dia meninggal dunia.

"Abah bekerja sebagai pemandu lori penghantaran. Lori abah dilanggar sehingga dia tercampak keluar dari cermin depan dan terhentak di tiang lampu.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbulan kumpul duit jual nasi kukus, rungutan bapa dorong pemuda buat kejutan beri iPhone 12... next mahu hadiahkan Mercedes-Benz

ARTIKEL BERKAITAN: Tahan sebak tak nak spoil detik gembira sekeluarga... riak wajah peniaga ikan buktinya, kejutan hadiah telefon pintar tambah seri hari lahir ke-53!

"Saya masih ingat pada pagi kejadian, saya merajuk dengan abah. Tapi saya lupa apa punca merajuk.

"Abah pesan supaya jaga dua orang adik. Petang tu dapat call kata abah meninggal. Saya baru bangun tidur, rasa macam tak percaya. Saya fikir ia satu guruan," ujarnya kepada mStar.

Imbas gadis itu lagi, dia yang agak ralat kerana enggan bersalaman dengan bapanya pada pagi kejadian nekad menjaga amanah yang disampaikan kepadanya.

Syasya (kiri) bersama adiknya, Nurulana Nabila (kanan).

Malah, pemergian bapanya turut menyebabkan timbulnya minat dalam bidang perniagaan dengan azam untuk membantu keluarga.

"Ada rasa menyesal masa tu, sebak. Pagi tu kali terakhir dapat tatap muka dia. Walaupun masa tu saya sekolah rendah lagi, saya berazam nak buat sesuatu.

"Nak bekerja keras, beri kebahagiaan kepada adik. Saya yang kena buat sebab abah dah tiada.

Saya tengok adik study atas lantai. Dia kata meja patah.

SYASYA

"Dari zaman sekolah saya berniaga. Jual pemadam, tabung, baju, kasut, makanan dan macam-macam lagi.

"Tahun ni saya mula jual produk kecantikan dan Alhamdulillah ia memberi rezeki buat saya untuk bahagiakan adik-adik," ujarnya.

Terbaharu, tular video memaparkan Syasya membuat kejutan membelikan sebuah meja buat adik perempuannya.

Menurut Syasya, dia simpati melihat adiknya, Nurulana Nabila yang mengulang kaji pelajaran di atas lantai kerana meja lama sudah patah.

Allahyarham bapa Syasya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

"Saya tengok adik study atas lantai. Dia kata meja patah. Meja tu sebenarnya meja saya, sekarang diturunkan kepada dia.

"Saya buat bisnes pun untuk bantu keluarga, jadi dengan rezeki yang ada, saya belikan meja baharu untuk dia.

"Masa mula-mula bawa pulang, saya minta dia angkat dari kereta ke dalam rumah.

"Dia macam malas nak angkat, dia fikir itu barang perniagaan saya. Lepas pusing baru tahu ia meja baharu. Dia pun sangat gembira," kata penuntut bidang Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, Melaka itu.

Paparan skrin video yang dikongsi.

Menurut Syasya, dia dan adiknya yang berusia 16 tahun menetap bersama nenek mereka di Melaka.

Seorang lagi adiknya menetap di Johor bersama ibunya yang bertugas di sana.

Selain itu, Syasya turut mempunyai seorang abang dan kakak, hasil perkahwinan terdahulu ibunya.

Dalam pada itu, video kejutan meja baharu oleh Syasya untuk adiknya sehingga kini menerima lebih 80,000 tontonan menerusi aplikasi TikTok.

Malah, ia turut dihujani pelbagai komen yang memberikan kata-kata semangat agar dia terus cekal berniaga demi membantu keluarga.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain