“Ikut dialah nak jadi apa pun” - Guru dedah perlu hadap sisi buruk penerima bantuan, tak semua orang miskin jujur!

Mohd Fadli meluahkan rasa kecewa dan terkilan dengan sikap segelintir penerima bantuan yang tidak jujur dan mengambil kesempatan. Foto: FB Mohd Fadli Salleh

DIBERI susu, tetapi dibalas pula dengan tuba.

Itulah perumpamaan boleh digambarkan terhadap sikap buruk segelintir pemohon bantuan sebagaimana yang dikongsikan oleh seorang guru yang aktif melakukan kerja amal, Mohd Fadli Salleh.

Menerusi perkongsian di Facebook, Mohd Fadli yang juga merupakan individu yang menguruskan Pertubuhan Kebajikan Danakita meluahkan rasa terkilan apabila niat ikhlasnya yang bersungguh-sungguh mahu membantu meringankan beban dibalas dengan 'tuba'.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu terkejut! Pelajar bijak dan cantik pandai ‘cover’ kemiskinan, baju kedut bongkar kisah menyayat hati - “Mereka tinggal di stor cleaner”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya PM cikgu ni mak tak tahu” - Guru terkejut dapat mesej remaja 14 tahun... akui kesempitan hidup keluarganya memang ‘real’

Perkongsian tersebut dilakukan dengan niat untuk memberi peringatan bersama, baik kepada pemohon bantuan yang lain serta individu yang berniat mahu terlibat dengan kerja-kerja kebajikan.

Ia gara-gara pengalaman dialaminya sendiri yang beberapa kali menjadi 'mangsa tipu' kepada orang yang memohon bantuan.



Sebahagian daripada posting Mohd Fadli yang meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir penerima bantuan.

"Malam ni aku cerita sedikitlah sisi buruk penerima bantuan dan mereka meminta bantuan ni.

"Aku bercerita dengan harapan tiada lagi sasaran akan berbuat perkara seperti ini. Juga sebagai persiapan mental untuk mereka yang baru nak berkecimpung dalam dunia sukarelawan.

"Orang yang datang meminta bantuan ni, bukan semuanya jujur. Yang cuba ambil kesempatan pun ramai," tulisnya pada perkongsian tersebut.

Mohd Fadli dalam pada itu berkongsi kisah yang tidak dapat dilupakannya mengenai sebuah keluarga yang dibantunya sebelum ini, sebagai teladan bersama.



Mohd Fadli yang juga seorang guru turut menguruskan Pertubuhan Kebajikan Danakita.

"Datang bertemu aku bawa surat berhenti kerja, kena halau dari rumah, cerita macam-macam kisah sedih. Aku usahakan bantuan. Cari rumah sewa lain. Katil, dapur gas semua siap bagi. Peti sejuk yang orang sedekahkan pun bagi lagi.

"Tak cukup dengan itu, kerja pun aku bantu carikan. Minta kawan aku ambil dia bekerja untuk membantunya," ceritanya.

Bagaimanapun tidak berapa lama kemudian, dia mendapat tahu perkhabaran buruk daripada pihak lain mengani sikap sebenar keluarga tersebut.

"Selepas dua bulan, tuan rumah sewa call aku. Sewa dah tertunggak. Bil api air tak pernah bayar. Kawan aku yang bagi kerja pun hubungi. Disiplin kerja teramat teruk. Datang lewat, selalu cuti tanpa maklum. Call tak angkat.

"Aku bagi lagi peluang. Bantu bayar bil, bantu bayar sewa, pujuk kawan aku terima lagi dia bekerja. Slow talk dengan dia suruh kerja elok-elok.

"Namun peluang kedua itu pun dia sia-siakan. Lepas itu aku berlepas tangan terus. Ikut dialah nak jadi apa pun, aku malas nak layan dah," luahnya.



Mohd Fadli (dua,kiri) turut turun padang menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.

Selain itu, Mohd Fadli turut mendedahkan sikap beberapa keluarga lain yang menyalahgunakan bantuan yang diberikan.

"Bukan main tabur cerita sedih susu anaklah, pampers anak la, langsung tak makanlah... tu dia, habis kat mesin judi. Dan usah terkejut ya, ramai orang miskin dan tak mampu ni cukup suka berjudi.

"Aku tengok handphone mereka, aplikasi judi real money berlambak beb. Patutlah hidup susah, taik judi.

"Yang kes dadah pun ramai. Penagih dan terus menagih tak nak berubah. Puas bantu, puas nasihat, siap bawa AADK lagi bagi nasihat pun tak jalan," dedahnya.



Bantuan yang dihulurkan berupa barangan keperluan asas.

Tambah Mohd Fadli, kebanyakan kes tersebut 'kantoi' selepas dia dihubungi sendiri oleh pihak lain seperti persatuan penduduk yang mendedahkan perangai sebenar individu licik ini.

"Macam-macam kisah di belakang tabir sebenarnya yang aku dok hadap selalu. Cuma aku tak pernah tulis saja sebelum ini.

Ni alang-alang tulis, biarlah jadi pedoman buat kawan-kawan yang ingin terjun dalam bidang ini.

"Semangat kena kental. Ada masa kena tegas sungguh. Ada masa kena tolak ansur. Dan ada masa kena tinggalkan mereka terus. Jalan ini tidak mudah.

"Sentiasa ada cabaran dan rintangan. Terus kental dan bertahan. Kerana ujian yang hadir ini semuanya akan mematangkan," tulisnya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih 268 shares.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain