suria

Doktor kongsi momen penuh hiba pesakit merayu-rayu minta air tapi tak kesampaian... dia 'terlelap' selamanya - “Genggamannya lemah, tangan agak sejuk”

Pesakit tersebut merayu-rayu meminta air kepada Dr Kamarul Ariffin.

APA jua pekerjaan kita pasti ada momen suka duka yang akan dikenang sepanjang hayat.

Begitu juga dengan seorang doktor ini yang berkongsi pengalaman merawat seorang pesawat warga emas yang sedang nazak.

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang itu dimasukkan ke hospital kerana lesu dan muntah-muntah.

ARTIKEL BERKAITAN: Dimaki bodoh kerana rujuk buku, ibu pesakit dapat jawapan padu doktor... sudahnya dapat surat tunjuk sebab! - “Jimat masa, kurangkan human error”

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar ‘doktor kiriman tuhan’ tapi tak mampu selamatkan bayi pramatang... jantung berdegup laju jam 1 pagi - “Jika hidup sampai esok pagi, itu keajaiban”

“Dipendekkan cerita, pesakit ni kami tak tahu bagaimana nak rawat. Jika diikutkan, dah perlu hemodialisis sebab buah pinggang dia tak berfungsi.

“Dah siap pasang femoral catheter untuk hemodialisis, namun melihat keadaan dia, kami bimbang dia tak dapat harungi prosedur itu.



Pesakit tersebut dimasukkan ke hospital kerana mengalami muntah-muntah dan lesu.

"Dalam keadaan begitu, jumlah air yang dia minum kami sukat baik-baik. Kami hadkan. Air kencing dia pun kami sukat. Setiap militer yang masuk dan keluar dari sistem badannya dicatat rapi, ” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Namun Dr Kamarul Ariffin berkata pesakit tersebut merayu-rayu meminta air pada malam dia bertugas meskipun sudah dimaklumkan jururawat had jumlah air yang boleh diambilnya.

“Jadi, jururawat panggil saya. Pakcik, dah lebih had ni. Pakcik minum banyak sangat, tak elok untuk kesihatan.

“Belum sempat saya habiskan ayat, pakcik tu hulur tangannya dan menggenggam lengan saya. Genggaman dia lemah, dan tangan dia agak sejuk.

“Dia berkata sesuatu. Doktor, bagilah saya minum. Dia berhenti, dan tarik nafas panjang. Bagilah saya air. Dia tarik nafas lagi, ” katanya.

Ceritanya lanjut, pesakit tersebut tiba-tiba membuka nasal prong (tiub) yang membekalkan oksigen tambahan agar pernafasan dia lebih baik.



Dr Kamarul Ariffin berkongsi momen sedih tersebut di Facebook miliknya.

“Pakcik OK tak ni? Sesak nafas ke? Soal aku sambil capai BP dan SPO² monitor. Ini alat periksa tekanan darah dan kepekatan oksigen dalam darah. Saya pasang pada pakcik.

"Bagi aku sedut udara ni (udara semulajadi) katanya sambil tutup mata dan menghidu, lalu dia sambung, bagilah minum air segar (kosong). Lepas ni, dah tak dapat dah," katanya tenang.

“Kemudian dia telan air liur. OKlah. Saya ambilkan, ya. Tapi tak boleh banyak, kata saya lalu pergi ke pantri setelah lihat bacaan tekanan darah dia agak OK, ” katanya.

Dia berkata sesuatu. Doktor, bagilah saya minum. Dia berhenti, dan tarik nafas panjang. Bagilah saya air. Dia tarik nafas lagi.

KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

Doktor

Sebaik kembali dari pantri, beliau terkejut apabila melihat keadaan pesakit tersebut yang sudah tidak lagi bernyawa.

“Ketika saya kembali dari pantri bersama secawan air yang tak sampai suku penuh, saya dapati pakcik dah terlelap.

“Saya letak cawan di meja sisi katil lantas memeriksa pakcik. Seperti yang saya jangka, tapi harap sangat tak berlaku. Inna lillah wa inna ilaihi rajiun, ucap saya," katanya.



Pesakit tersebut tidak sempat minum air yang dimintanya.

Dr Kamarul Ariffin berkata momen sedih itu ternyata memberi mesej yang amat berharga pada dirinya.

“Kita akan mengerti nikmatnya hidup dengan pemberian Tuhan untuk kita di dunia ni. Udara segar yang hirup. Air bening yang melegakan haus. Perkara-perkara yang kita sering anggap kecil nilainya kerana ianya percuma.

"Di saat kematian yang semakin hampir, tak banyak yang kita boleh lakukan lagi. Masa dah tak banyak. Kudrat dah habis. Kebanyakan nikmat yang dipinjamkan, telah diambil kembali. Sebab itu benda-benda yang kecil tadi jadi besar, jadi sesuatu yang kita amat hargai, ” katanya.

Dalam pada itu, Dr Kamarul Ariffin turut mendedahkan kebanyakan pesakit yang sedang nazak sering meminta air sebelum dijemput Ilahi.

“Haus... Saya tak berapa pasti apa fisiologinya, mungkin juga ia satu kebetulan.

“Namun berdasarkan pengalaman saya menjaga pesakit yang gering dan nazak tetapi masih sedar, kebanyakan mereka akan meminta air tak lama sebelum ajal menjemput, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain