suria

Dimaki bodoh kerana rujuk buku, ibu pesakit dapat jawapan padu doktor... sudahnya dapat surat tunjuk sebab! - “Jimat masa, kurangkan human error”

Dr Kamarul Ariffin (gambar kecil) berkongsi kisahnya berdepan dengan waris pesakit kanak-kanak yang agak kurang adab ketika dia masih bergelar doktor pelatih sebelum ini. Gambar hiasan

SETIAP doktor pasti mahu memberikan rawatan yang terbaik untuk pesakit mereka.

Namun sudah pasti sepanjang pengalaman bergelar seorang doktor, pemegang status Dr pada pangkal nama itu tidak lari daripada pengalaman pahit apabila berdepan segelintir pesakit ataupun waris mereka.

Sebagaimana pengalaman yang dikongsikan oleh seorang doktor ini, dia tidak dapat melupakan insiden ketika berdepan dengan waris pesakit yang bersikap agak kurang adab ketika tugas pertamanya sebagai House Officer (HO) atau doktor pelatih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Panas’ tengok nurse diherdik, doktor tak teragak-agak sound waris pesakit... apa yang dilihat selepas itu cukup menyayat hati - “Sebab itu korang patut hormat mereka”

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar ‘doktor kiriman tuhan’ tapi tak mampu selamatkan bayi pramatang... jantung berdegup laju jam 1 pagi - “Jika hidup sampai esok pagi, itu keajaiban”

"Saya tak mau doktor ni treat anak saya! Misi, you tak nampak ka? Ni doktor, bodoh punya tau. Sudah jadi doktor, kena buka buku.

"Dulu masa belajar, mesti dia tak pernah baca, tak tau macam mana boleh jadi doktor. Maybe, itu certificate beli punya," tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan mengimbas kembali kata-kata seorang wanita yang ditujukan kepadanya.

Menurut Dr Kamarul Ariffin, anak wanita berkenaan dimasukkan ke wad kerana masalah jangkitan paru-paru.

Sungguhpun kata-kata wanita itu begitu pedih, doktor ini sedaya upaya cuba menahan sabar dan meneruskan tugasnya demi merawat pesakit kanak-kanak itu.



Dr Kamarul Ariffin berkongsi pengalamannya ketika berdepan dengan waris pesakit yang agak kurang beradab.

"Aku pekakkan telinga. Aku teruskan belek buku kecil yang saiznya tak lebih besar daripada kebanyakan telefon pintar zaman ini.

"Aku keluarkan kalkulator dari poket labcoat aku. Housemen (HO) di Jabatan Pediatrik memang bawa kalkulator ke mana-mana. Kalau tertinggal menggagau cari.

"Walaupun dalam telefon pintar masing-masing ada perisian kalkulator, ia tak boleh tanding kepuasan guna kalkulator. Setelah aku kira dosej untuk pesakit itu, baru aku bersuara.

"Maaf, puan. Ini kalkulator. Puan tahu tak kenapa pakar matematik juga guna kalkulator? Saya pasti bukan kerana mereka tak pandai mengira. Mereka guna kalkulator untuk jimat masa dan kurangkan human error apabila melakukan pengiraan yang rumit," jelas Dr Kamarul sebagai jawapan kepada sindiran wanita berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, doktor berkenaan turut menghulurkan sebuah buku kecil kepada wanita berkenaan sambil menerangkan tujuan dia merujuk buku berkenaan sebentar tadi.



Dek kerana jawapan balas padunya kepada wanita berkenaan, Dr Kamarul Ariffin diminta oleh Ketua Jabatan untuk memberikan surat tunjuk sebab.

"Ini pula buku Frank Shann. Pakar pediatrik dan farmasis pun rujuk buku ni. Dos ubat untuk kanak-kanak berbeza-beza ikut umur mereka. Buku ini ada tulis semua tu.

"Jadi saya perlu semak dos ubat anak puan untuk pastikan kami beri dos yang cukup dan selamat. Konsepnya sama untuk kurangkan error," tulis Dr Kamarul Ariffin mengimbas kembali bait-bait ucapannya kepada wanita berkenaan.

Wanita berkenaan semakin 'panas hati' apabila mendengar jawapan balas doktor tersebut dan tanpa diduga, kes berkenaan dipanjangkan ke ketua jabatan di hospital berkenaan.

"Aku dipanggil oleh ketua jabatan untuk beri penjelasan dan diarah kemukakan surat tunjuk sebab. Aku akur sahaja.

"Aku cuma mahukan yang terbaik untuk pesakit, tapi perkara tak baik pula jadinya. Ini pengalaman aku semasa posting pertama sebagai HO, tapi aku takkan pernah lupa.

"Sekarang sebagai Medical Officer (MO), aku masih lagi semak rujukan jika aku ada keraguan. Aku tak pernah rasa bodoh berbuat demikian.



Pengalaman tersebut di mana ketika itu masih bergelar doktor pelatih, tidak akan dilupakan oleh Dr Kamarul Ariffin.

Tambah Dr Kamarul Ariffin lagi, persepsi kononnya membuka buku hanyalah untuk orang yang bodoh semenangnya perlu diubah.

"Bagi aku, orang yang kurang ilmu tapi mengambil inisiatif untuk buka buku (belajar) tak layak dipanggil bodoh. Orang bodoh adalah orang yang cetek ilmu tapi membiarkan dirinya terus tak berilmu. Tiada inisiatif.

"Selepas ini aku harap, kalau anda nampak doktor atau sesiapa sahaja yang semak buku atau nota atau rujukan untuk melakukan sesuatu, berilah sokongan dan dorongan padanya. Kalau tak tahu, rujuklah, cuma pastikan pada yang arif. Jangan pula memandai-mandai," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 824 shares dan dibanjiri ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain